PKP 2.0 jejaskan jualan Proton pada Januari | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 jejaskan jualan Proton pada Januari

Proton X50

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Jenama kereta nasional pertama Malaysia, Proton Holdings Bhd. (Proton) mencatatkan penurunan jualan kenderaan pada Januari iaitu sebanyak 5,964 unit sekali gus mengakhiri bulan ditangga kedua.

 

Proton berkata, jumlah tersebut bersamaan pengurangan sebanyak 29.9% berbanding dengan bulan Januari 2020, manakala pegangan pasaran diaggarkan pada tahap 18.5%, penurunan sebanyak 1.0%.

 

Bagaimanapun, kadar jualan tersebut mencerminkan ketidakupayaan pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan dan bukan pengurangan tempahan. 

 

"Model terlaris Proton pada bulan Januari adalah Proton Saga. 2,583 unit telah dihantar kepada pembeli, sekali gus menjadikannya sedan segmen-A yang kedua paling popular.

 

"Proton X70 dan Proton X50 pula kekal di tangga teratas SUV segmen-C dan SUV segmen-B (lima tempat duduk) walaupun jumlah yang didaftar berkurangan kepada 892 unit dan 1,082 unit. 

 

"Bagi Proton X50, sebanyak 4,809 unit sudah dihantar kepada penempah semenjak ia dilancarkan tahun lepas pada 27 Oktober," jelas Proton dalam satu kenyataan.

 

.

 

Model PROTON lain pula dijual pada kadar yang setanding dengan prestasi syarikat. 

 

Proton Persona berjaya meyandang tangga kedua pada kategori sedan segmen-B manakala Proton Exora kekal sebagai MPV segmen-C paling popular. 

 

Proton Iriz pula mengakhiri bulan Januari di tangga ketiga bagi hatchback segmen-B.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar,  Roslan Abdulah berkata, Januari adalah bulan yang agak sukar bagi industri automotif Malaysia. 
 

 

Roslan Abdulah
Roslan Abdulah

 

"Kami mempunyai harapan tinggi momentum yang dibina pada akhir tahun lepas akan dibawa ke tahun baru ini, terutamanya selepas pengumuman insentif Penjana akan kekal hingga ke pertengahan tahun. Malangnya, pengumuman PKP untuk kali kedua telah menghampakan harapan itu.

 

"Namun demikian, Proton dan ahli-ahli lain industri automotif menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengawal kadar jangkitan. 

 

"Keselamatan semua akyat Malaysia perlu diutamakan dan syarikat-syarikat perlu menukar strategi jika ingin mencapai matlamat dalam keadaan pasaran yang telah berubah," tambah beliau.

 

Pelaksanaan PKP yang memberi kesan kepada jumlah kehadiran pelanggan ke bilik pameran Proton mampu diimbangi oleh tempahan secara dalam talian untuk meningkatkan jualan.

 

Malangnya, talian bekalan Proton telah terjejas oleh coronavirus untuk beberapa bulan lepas sekali gus menyukarkan proses untuk membina kenderaan kerana bekalan bahagian tidak konsisten.

 

.

 

Situasi tersebut telah dihadapi oleh semua pengeluar kenderaan sejak tahun lalu dan menaruh harapan dengan  ketibaan vaksin akan menstabilkan keadaan pada pertengahan tahun.

 

Walaupun terdapat kelewatan, Proton berhasrat untuk meneruskan rancangan pelancaran produknya untuk tahun 2021 dalam usaha untuk meningkatkan penjualan di dalam dan luar negara.

 

"Buat masa ini, Proton akan mengikuti jadual pelancaran produk. Kami akan melancarkan beberapa produk yang menarik pada tahun ini manakala Proton X50 pula akan diberi peluang untuk memantapkan kedudukannya di pasaran serta menerima faedah jualan selama setahun. 

 

"Kami sedar pasti ada lebih cabaran pada tahun ini dan keadaan tidak akan berubah sehingga virus itu dapat dikawal di seluruh dunia, tetapi kami juga memahami bahawa inilah norma baru perniagaan dan pihak syarikat bertanggungjwab untuk menukar cara operasi mereka untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya lagi. - DagangNews.com