PKP 2.0, PKPB tidak halang pemulihan ekonomi | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0, PKPB tidak halang pemulihan ekonomi

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 April - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP Bersyarat dilihat tidak menjejaskan prestasi pertumbuhan ekonomi negara.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia kerana statistik utama bagi tempoh dua bulan pertama pada suku pertama 2021 menunjukkan tanda pemulihan meskipun kawalan pergerakan tersebut dijalankan hampir ke seluruh negeri.

 

Jelasnya, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 1.5% pada Februari 2021. Peningkatan tersebut dipacu oleh kenaikan indeks Pembuatan sebanyak 4.5% didorong oleh produk berorentasikan eksport dan domestik.

 

"Selari dengan ini, eksport barangan Malaysia terus berkembang dengan kedua-dua eksport dan import merekodkan pertumbuhan dua digit berbanding tempoh sama tahun 2020.

 

"Eksport merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 28 bulan, disumbangkan oleh peningkatan eksport domestik dan eksport semula," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian dalam Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 4/2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Menyentuh berkaitan sektor pertanian, beliau berkata, harga minyak sawit mentah menunjukkan nilai tertinggi sejak 13 tahun terdahulu dan berpotensi kekal tinggi selari dengan sentimen semasa yang positif.

 

Bagaimanapun, pengeluaran getah asli menunjukkan prospek yang berbeza apabila mencatatkan penurunan marginal berbanding Februari 2020.

 

Namun, perbandingan bulan ke bulan menunjukkan peningkatan berikutan pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) di seluruh negara bagi membantu pekebun kecil.

 

"Dalam perspektif harga, kedua-dua indeks menunjukkan trend peningkatan. Indeks Harga Pengeluar pengeluaran tempatan kembali meningkat tahun ke tahun setelah mengalami pertumbuhan negatif bagi 11 bulan berturut-turut sejak Mac 2020.

 

"Indeks Harga Pengguna turut mencatatkan pertumbuhan positif kali pertama pada Februari 2021 sejak 11 bulan yang lalu iaitu sebanyak 0.1% tahun ke tahun.

 

"Ini menandakan bahawa inflasi Malaysia akan kembali meningkat bagi bulan akan datang berikutan trend peningkatan harga minyak global yang mempengaruhi harga minyak dalam negara dan seterusnya mendorong kenaikan harga barangan dan perkhidmatan," tambah beliau lagi.

 

Bagi pasaran buruh tahun ke tahun pula, bilangan penduduk bekerja masih menunjukkan trend penurunan, manakala kadar pengangguran kekal tinggi.

 

Namun, bilangan penduduk bekerja terus merekodkan pertumbuhan marginal 0.2% pada Februari berbanding bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh sektor perkhidmatan seperti perdagangan borong dan runcit.

 

Merumuskan perkembangan tersebut, Mohd. Uzir memberitahu, Indeks Pelopor (IP) pada Februari 2021 menunjukkan Malaysia menuju ke arah ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan mendatang.

 

Ujar beliau, selaras dengan prestasi statistik yang diterbitkan bagi bulan Januari dan Februari 2021 yang lebih baik, statistik bagi Mac 2021 akan merungkai persoalan dalam menentukan prestasi ekonomi Malaysia bagi suku pertama 2021 yang dijadual akan dikeluarkan pada 11 Mei 2021. - DagangNews.com