PKP jejaskan hasil, untung sebelum cukai Pecca pada Q1 | DagangNews Skip to main content

PKP jejaskan hasil, untung sebelum cukai Pecca pada Q1

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Hasil dan untung sebelum cukai Pecca Group Bhd. bagi suku pertama berakhir 30 September 2021 masing-masing susut 31% dan 89% kepada RM22.79 juta dan RM660,000 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pecca berkata, penurunan hasil itu adalah kesan daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Jun hingga pertengahan Ogos 2021 yang menyebabkan segmen perniagaan kulit upholsteri tidak beroperasi. 

 

Hasil kumpulan secara dasarnya dipacu segmen perniagaan kulit upholsteri dan juga penjagaan kesihatan dengan masing-masing menyumbang sebanyak 58% dan 28%. 

 

Segmen pengeluaran produk tulen bagi tempat duduk kereta kulit menyumbang hampir 71% daripada jumlah hasil bagi sarung kereta manakala REM dan PDI pula masing-masing menyumbang sebanyak 17% dan 12%.

 

Perniagaan penjagaan kesihatan pula merekodkan jualan hingga 1,157% lebih tinggi berbanding suku yang sama sebelumnya apabila perniagaan penjagaan kesihatan mula beroperasi pada suku pertama tahun kewangan 2021.

 

Mengenai prospek kumpulan, Pecca menjangkakan ia akan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam pasaran kulit upholsteri dalam sektor automotif di negara ini dipacu oleh penawaran penambahbaikan dan reka bentuk produk kepada pelanggan.

 

"Selain itu, kumpulan juga menjangkakan permintaan bagi produk perlindungan peralatan diri (PPE) akan meningkat pada suku keempat dan seterusnya memandangkan topeng gred perubatan dan jenis topeng lain akan menjadi sebahagian daripada keperluan harian pada masa hadapan," katanya.

 

Pada masa sama, katanya, kumpulan kekal optimis dengan masa depan syarikat dengan mengambil kira pemulihan yang kukuh dalam sektor automotif dan penjagaan kesihatan yang dijangka kekal cerah berikutan norma baharu untuk perlindungan diri dan usaha berterusan kumpulan meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan atau usaha sama yang sesuai. - DagangNews.com