Skip to main content

PKPB ‘tarik’ pemulihan ekonomi Malaysia beransur-ansur, kata Azmin

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Pelaksanaan sekatan pergerakan kali kedua mendorong kerajaan untuk mengubah ramalan awal pemulihan ekonomi negara menjelang 2021, yang dibuat sebelum ini.  

 

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula pada suku keempat 2020 (4Q20), Malaysia bakal menyaksikan pemulihan ekonomi beransur-ansur atau berbentuk U berbanding berbentuk V (pemulihan drastik). 

 

Namun, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sudah tentu kementeriannya dan kerajaan mempunyai pelan lain untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia berada pada landasan pemulihan.

 

“Saya fikir pendekatan terbaik (mengekang jangkitan COVID-19) adalah melaksanakan PKP dan penularan virus dapat dibendung dalam jangka masa pendek. 

 

“Tetapi, PKP akan menjejaskan ekonomi domestik seperti yang berlaku sebelum ini, jadi ketika ini saya fikir kita perlu seimbangkannya dan tidak kembali kepada PKP,” kata Mohamed Azmin dalam sebuah temubual bersama-sama Bloomberg TV. 

 

Malaysia menyaksikan prestasi ekonomi yang beransur-ansur pulih, terbukti dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menguncup lebih rendah iaitu 2.7% pada suku ketiga 2020 (3Q20) berbanding 2Q20 (17.1%).

 

Ketika ini, kerajaan ingin menumpukan kemasukan pelaburan teknologi dan bernilai tinggi berbanding industri instensif buruh. 

 

Tambahan lagi, perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) dapat mendorong syarikat multinasional untuk mengubah semula lokasi ke Malaysia. 

 

“Terdapat peluang buat syarikat multinasional untuk mengubah semula kedudukan mereka di rantau ini termasuk Malaysia. Mereka perlu bersedia dengan modal insan, bakat dan juga keupayaan untuk memenuhi permintaan industri,” tambah Mohamed Azmin. 

 

Mengulas mengenai Belanjawan 2021, Mohamed Azmin melihat tiada sebab Ahli-ahli Parlimen untuk tidak menyokong pembentangan itu yang bertujuan membangunkan semula ekonomi negara termasuk manfaat rakyat. 

 

“Ahli-ahli Parlimen perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk menyokong apa yang terbaik untuk komuniti perniagaan serta rakyat Malaysia,” ujar Mohamed Azmin. - DagangNews.com