PKPD: Kilang Top Glove di Klang ditutup sementara | DagangNews Skip to main content

PKPD: Kilang Top Glove di Klang ditutup sementara

Top Glove

KUALA LUMPUR 7 Julai - Syarikat pembekal sarung tangan getah terkemuka, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) menghentikan sementara operasi kilangnya yang terletak di Klang, Selangor.

 

Keputusan itu dibuat selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Klang.

 

"Top Glove ingin memaklumkan bahawa kilang sarung tangan perubatan kami di Klang tidak akan beroperasi buat sementara waktu disebabkan pelaksanaan PKPD, sementara kami menunggu pengesahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan perkara ini," jelas Top Glove seperti dilapor Berita Harian.

 

Mengulas lanjut, pihak syarikat berkenaan berharap dapat beroperasi semula dengan selamat pada masa yang sesuai bagi menghasilkan bekalan sarung tangan perubatan yang sangat diperlukan di Malaysia dan seluruh dunia.

 

Jelas Top Glove, pihaknya akan terus mematuhi peraturan dan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

 

"Kami komited untuk menjaga kesihatan dan keselamatan tenaga kerja kami dan masyarakat di mana kami beroperasi," tambah Top Glove lagi.

 

Bermula 3 Julai baru-baru ini, perbincangan pelbagai agensi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN telah memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di WP Kuala Lumpur.

 

PKPD di kawasan berkenaan dikuatkuasakan selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai nanti.

 

Semalam, Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi sebanyak 3,260 dan 1,550 kes. - DagangNews.com