PKPD: Pengeluaran Top Glove dijangka terjejas hingga 15% | DagangNews Skip to main content

PKPD: Pengeluaran Top Glove dijangka terjejas hingga 15%

Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Kapasiti pengeluaran sarung tangan getah syarikat Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) dijangka akan terjejas hingga 15% susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama yang terletak di Klang, Selangor.

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dibuat sekiranya kesemua 2,500 pekerja di asrama berkenaan tidak dibenarkan untuk bekerja.

 

"Ketika ini Top Glove masih menjelaskan adakah kesemua pekerja di dua asramanya dilarang untuk meneruskan kerja di kilang tersebut.

 

"Dengan andaian bahawa semua 2,500 pekerja yang terlibat itu tidak dibenarkan bekerja selama dua minggu, kami menjangkakan kapasiti pengeluaran Top Glove akan terjejas hingga 15%.

 

"Dari segi hasilnya, kami menganggarkan kesan terhadap pendapatan pada tahun kewangan 2021 dan keuntungan bersih masing-masing menurun sebanyak -0.6% dan -0.9%," jelas CGS-CIMB Research.

 

Semalam, DagangNews.com melaporkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja lelaki dan perempuan syarikat Top Glove Klang yang bermula hari ini hingga 30 November 2020.

 

Baca: Asrama pekerja Top Glove Klang dikenakan PKPD bermula esok

 

aaa
Pemakluman rasmi kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara mengenai tindakan melaksanakan PKPD ke atas asrama pekerja Top Glove pada 16 November 2020.

 

Asrama berkenaan menampung seramai 2,500 pekerja yang terdiri daripada 1,800 pekerja lelaki dan 700 pekerja wanita.

 

Kilang Top Glove di Klang mempunyai 8,000 pekerja yang menyumbang hingga 50% daripada jumlah kapasiti pengeluaran sarung tangan semasa iaitu sebanyak 90 bilion keping.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, Top Glove juga berkemungkinan membelanjakan RM3.2 juta bagi kos saringan COVID-19 bagi semua pekerjanya di Klang.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat berkenaan sementara menunggu pemakluman lanjut mengenai perkara ini.

 

"Kami juga mengulangi saranan 'tambah' saham Top Glove dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM10.00," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com