PKPP dilanjutkan? | DagangNews Skip to main content

PKPP dilanjutkan?

PKPP

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pakar kesihatan menggesa agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) yang bakal berakhir pada 31 Ogos ini dilanjutkan lagi ekoran peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr. N. Ganabaskaran berkata, situasi sekarang memberi gambaran bahawa Malaysia masih belum boleh menamatkan PKPP.

"Situasi ini mungkin berbeza sekiranya kita tidak mempunyai kluster baharu yang menjadikan jumlah kes positif harian kembali meningkat kepada dua digit.

"Masalah pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) juga berlaku dan jelas bertentangan dengan usaha untuk mengurangkan penularan wabak di negara ini," jelasnya seperti dipetik Malay Mail.

N. Ganabaskaran
N. Ganabaskaran

 

Tegas beliau lagi, Malaysia mungkin akan terus berada dalam fasa PKPP atau perintah lain sekiranya masyarakat masih melanggar peraturan yang telah diperkenalkan kerajaan.

Pihak kerajaan juga perlu mempertimbangkan agar melanjutkan PKPP atau meningkatkan kawalan tertentu meskipun jumlah kes harian menurun kepada satu digit.

"Penguatkuasaan juga harus konsisten agar SOP yang digariskan tidak dipandang remeh oleh orang ramai," tambahnya.

Raj Kumar
Raj Kumar

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia, Dr. Raj Kumar turut menyatakan kebimbangan sekiranya PKPP ditamatkan sebelum berakhirnya wabak.

"Saya berpendapat PKPP akan dilanjutkan kerana kerajaan baru sahaja mengesan strain COVID-19 yang lebih berbahaya iaitu strain D614G di negara ini.

"Susulan itu, PKPP harus dilanjutkan sekurang-kurangnya satu bulan lagi dan perlu dikaji semula pada penghujung bulan tersebut," jelasnya. - DagangNews.com