PKS perlu persiap diri guna teknologi digital | DagangNews Skip to main content

PKS perlu persiap diri guna teknologi digital

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika sesi townhall bersama persatuan dan dewan perniagaan di Kelantan, semalam yang diadakan untuk mendapat maklum balas daripada para usahawan di negeri tersebut.

 

 

 

KUALA LUMPUR 8 Mac - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro perlu mempersiapkan diri dengan penggunaan teknologi digital bagi menghadapi senario perniagaan yang berbeza, khususnya selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana tidak mudah untuk menganggap bahawa keadaan akan kembali seperti biasa selepas pandemik wabak COVID-19 berakhir.

 

Saranan itu dibuat dalam ucapannya semasa menghadiri sesi townhall bersama persatuan dan Dewan Perniagaan Kelantan semalam. 

 

Berdasarkan bancian daripada 907,065 PKS di seluruh negara, sebanyak 46,260 atau 5.1% daripada PKS yang berdaftar, beroperasi di Kelantan.

 

Tahun lalu, kementerian menerusi SME Corp. Malaysia memainkan peranan dalam memudahcara 7,851 perusahaan mikro, termasuk usahawan bumiputera untuk mengadaptasi teknologi digital (e-dagang) dalam operasi perniagaan masing-masing menerusi Program Micro Connector.

 

Program Micro Connector merupakan salah satu inisiatif berterusan oleh SME Corp  bagi membangunkan perusahaan mikro dan komuniti isi rumah yang memperolehi pendapatan 40% terendah (B40) di negara ini. 

 

Program ini bertujuan untuk memberikan bantuan peringkat awal kepada perusahaan mikro dalam menubuhkan dan menjalankan perniagaan serta melatih komuniti B40 untuk mendapatkan kemahiran baru untuk menjana pendapatan melalui keusahawanan.

 

Di bawah program Micro Connector ini juga, SME Corp bekerjasama dengan Warong Rider iaitu satu platform servis penghantaran makanan dan barangan yang dapat membantu golongan belia, peniaga dan penjaja kecil di seluruh Malaysia untuk memasarkan pelbagai produk di kawasan setempat.

 

SME Corp. Malaysia juga melaksanakan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) bertujuan meningkatkan daya saing PKS Bumiputera menerusi bantuan bersepadu yang meliputi khidmat nasihat, bantuan teknikal, latihan dan sokongan kewangan dalam bentuk geran bersamaan. 

 

Sehingga Disember 2020, sejumlah 1,212 permohonan telah diluluskan dengan nilai geran berjumlah RM175.4 juta di bawah program BEEP. 

 

Bagi negeri Kelantan, sejumlah 80 permohonan telah diluluskan dengan nilai geran berjumlah RM7.01 juta. - DagangNews.com