Platform THiJARI lonjak nama TH rangkul Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021 | DagangNews Skip to main content

Platform THiJARI lonjak nama TH rangkul Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021

(Dari kiri) Ketua Pegawai Teknologi TH, Shamsul Kamal Hussein Kamal; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Pengerusi TH, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof; Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad dan Pengurus Besar, Digitalisasi Perniagaan TH, Mohamed Ameen S.M.A Abdul bergambar bersama trofi anugerah.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH

KUALA LUMPUR 5 Julai - Lembaga Tabung Haji (TH)  memenangi Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021 (Malaysian Technology Excellence Award) bagi kategori Perkhidmatan Dalam Talian - Perkhidmatan Kewangan buat julung-julung kalinya bagi platform THiJARI yang dianugerahkan oleh Singapore Business Review.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, anugerah berkenaan adalah satu pengiktirafan kepada Tabung Haji dan merupakan manifestasi sokongan para pendeposit atas usaha pihaknya menambah baik perkhidmatan dalam talian dengan pengenalan THiJARI.

 

"Ia juga seiring dengan perkembangan digital masa kini dan menjadi platform utama dalam membantu mendepani cabaran pandemik COVID-19 sekarang.

 

"TH komited menambah baik perkhidmatan yang diberikan termasuk platform dalam talian, THiJARI - yang terbukti menjadi pilihan terbaik dan paling mudah bagi para pendeposit untuk melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan TH pada setiap hari," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan kepada projek inovatif yang dilaksanakan TH menerusi platform THiJARI yang turut membuktikan komitmen TH dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan dan haji yang inovatif.

 

THiJARI telah direka dengan susun atur yang kemas, navigasi yang mesra pengguna malah dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang tinggi bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna.

 

Fungsi-fungsi utama yang disediakan termasuklah kemudahan pembukaan akaun secara maya (VAO), butiran akaun, pindahan dana dari bank ke TH melalui FPX, pendaftaran hibah amanah dan pindahan simpanan dari akaun TH ke akaun TH yang lain, keahlian Kelab TaHa dan pelbagai perkhidmatan haji seperti pendaftaran haji, tawaran haji, rayuan haji dan jadual penerbangan haji. 

 

THiJARI kini boleh dicapai melalui web (www.thijari.com.my) atau dimuat turun menerusi aplikasi iOS dan Android. 

 

Meskipun baru setahun dilancarkan, pengguna THiJARI Web telah mencecah hampir 830,000 dan 430,000 pengguna THiJARI App dengan 50,000 transaksi direkodkan setiap hari.

 

"TH amat berbesar hati dengan anugerah yang diterima dan ia adalah perangsang untuk TH terus melakukan transformasi digital dalam perkhidmatan sekali gus meluaskan akses perkhidmatan, menjimatkan masa dan mensejahterakan alam sekitar," tambahnya. - DagangNews.com