PLUS: Pembayaran tol guna Touch 'N Go dan SmartTag masih kekal | DagangNews Skip to main content

PLUS: Pembayaran tol guna Touch 'N Go dan SmartTag masih kekal


PETALING JAYA 18 Dis - Pembayaran tol menggunakan kad Touch 'n Go dan SmartTAG masih ditawarkan walaupun transaksi tol menggunakan teknologi RFID diperkenalkan di laluan Juru-Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Januari 2022.

 

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, transaksi tol menggunakan teknologi RFID pada ketika ini adalah sebagai pilihan tambahan kepada platform kad Touch 'n Go dan SmartTAG yang sedia ada.

 

Menurutnya, transaksi menggunakan RFID adalah langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol (Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong - MLFF) pada masa hadapan.

 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tampil untuk menjelaskan kebimbangan sesetengah pihak yang keliru dengan rancangan PLUS untuk membuka lorong RFID di laluan Juru-Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan sepertimana yang diumumkan baru-baru ini.

 

“Kami mendengar dan faham kebimbangan yang disuarakan oleh sesetengah pengguna lebuh raya tentang penutupan torong Touch ‘n Go dan SmartTAG, dan PLUS ingin menjelaskan bahawa kedua-duanya akan tetap beroperasi dan hanya satu lorong RFID akan disediakan di plaza-plaza tol di laluan Juru-Skudai kelak.

 

''Dengan pembukaan lorong RFID bermula 15 Januari 2022 nanti, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan platform pembayaran tol bagi melengkapkan transaksi tol mereka,” tambah beliau dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail

 


Walau bagaimanapun, PLUS mengajak lebih ramai pengguna lebuh raya agar beralih kepada sistem transaksi tol RFID kerana ia lebih pantas dan memudahkan perjalanan mereka di plaza-plaza tol.

 

Dengan RFID, pengguna juga tidak perlu lagi untuk mengunjungi kaunter-kaunter tambah nilai kerana semua urusan tambah nilai dan memeriksa baki dilakukan secara dalam talian dengan pantas pada bila-bila masa.

 

Tag pelekat RFID boleh diperoleh dengan mengunjungi 39 pusat pemasangan yang disediakan di seluruh Semenanjung Malaysia. Pengguna juga boleh mendapatkan tag Touch ‘n Go RFID secara dalam talian menerusi edompet Touch ‘n Go atau portal Touch ‘n Go untuk memasangnya sendiri.

 

Menurut Datuk Azman, transaksi tol menggunakan RFID di lebuh raya sistem tertutup seperti Lebuh raya Utara-Selatan telah terlebih dahulu diuji di laluan Hutan Kampung–Sungai Dua di Kedah dan Pulau Pinang sejak Julai tahun lalu dan kadar penerimaan yang semakin meningkat sejak ia mula diperkenalkan membuktikan transaksi tol menggunakan teknologi tersebut mula diterima oleh pengguna lebuhraya.

 

“Bagi merealisasikan MLFF (pembayaran tol tanpa plaza tol) sepertimana yang dilaksanakan di negara lain, pengguna lebuh raya terlebih dahulu perlu beralih kepada RFID.

 

''Peralihan ke RFID perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dalam satu jangka masa yang tertentu bagi memberi peluang kepada para pengguna untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pembayaran tol alaf baru tersebut,” jelas Datuk Azman. - DagangNews.com