PLUS raih 2 anugerah ASEAN dan negara dua tahun berturut-turut | DagangNews Skip to main content

PLUS raih 2 anugerah ASEAN dan negara dua tahun berturut-turut

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com


 

PETALING JAYA 21 Sept – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berjaya menempa nama sebagai satu daripada peneraju industri utama dalam kecekapan tenaga apabila Ibu Pejabatnya, Persada PLUS telah mengekalkan status sebagai Naib Johan untuk dua tahun berturut-turut dalam Kategori Bangunan Yang Diubahsuai (Retrofitted Building).

 

Kategori tersebut diraih dalam Anugerah Bangunan Cekap Tenaga Amalan Pemuliharaan dan Kecekapan Tenaga Terbaik ASEAN 2021, anjuran Pusat Tenaga ASEAN (ACE) baru-baru ini.

 

PLUS juga telah muncul sebagai pemenang Anugerah Tenaga Kebangsaan 2020 bagi kategori Pengurusan Tenaga Bangunan Besar serta Naib Juara Anugerah Tenaga ASEAN (AEA), sekaligus menjadikan PLUS sebagai syarikat konsesi lebuh raya yang pertama menerima penghormatan berganda tahun ini.

 

Pengiktirafan berganda ini juga merupakan kesan langsung pelan strategik lima tahun PLUS Green Roadmap yang menekankan kepentingan pendekatan yang paling inovatif dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.

 

Anugerah ini mencerminkan dedikasi berterusan syarikat untuk memperkasakan budaya  Penjagaan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus Korporat (ESG) dalam amalan perniagaannya, sekaligus membantunya memenangi Anugerah Tenaga Negara 2021, anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA), yang melayakkan PLUS mewakili negara ke anugerah serantau tersebut.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pengiktirafan berganda ini adalah bukti kukuh semangat PLUS mempertingkatkan inisiatif Hijau PLUS.

 

‘’Ia juga merupakan bukti komitmen warga kami dalam memperkasakan pembangunan mampan dan memberikan nilai tambah kepada pihak berkepentingan kami.

 

``Ia merupakan usaha yang sangat luar biasa dari seluruh Warga PLUS dan anugerah ini didedikasikan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Datuk Zakaria Ahmad Zabidi
                         Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

 

 

Anugerah Tenaga ASEAN ini merupakan pengiktirafan tertinggi di Asia Tenggara bagi kecemerlangan dalam bidang pengurusan tenaga.

 

Kategori pertama adalah dalam bidang kecekapan tenaga dan pemuliharaan (EE&C) dalam bangunan memandangkan penggunaan tenaga paling intensif merupakan salah satu kesan pembangunan bandar yang pesat.

 

Pertandingan ini dilancarkan pada tahun 2000 dan mula merangkumi penyertaan Kategori Bangunan Hijau pada tahun 2014.

 

Majlis Penganugerahan telah dilangsungkan secara maya pada 16 September 2021 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN ke-39 mengenai Mesyuarat Tenaga (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2021. – DagangNews.com