PM beri kata semangat kepada Sukarelawan Penjawat Awam | DagangNews Skip to main content

PM beri kata semangat kepada Sukarelawan Penjawat Awam

PUTRAJAYA 31 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi kata-kata semangat kepada Sukarelawan Penjawat Awam yang akan menyertai misi pasca banjir ke kawasan terjejas di Selangor dan Pahang.

 

Menurut hantaran dalam facebook rasmi Perdana Menteri, beliau turut menyerahkan kit terdiri daripada baju dan topi kepada lapan sukarelawan yang mewakili seramai 5,000 Sukarelawan Keluarga Malaysia terbabit di Dataran Putrajaya hari ini.

 

Sebanyak 30 bas akan membawa sukarelawan perkhidmatan awam dari pelbagai kementerian, jabatan dan agensi ke kawasan terjejas banjir yang ditetapkan.

 

Turut bersama misi itu adalah tiga bas yang membawa sukarelawan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), jabatan dan agensi ke dua lokasi iaitu di Kuala Selangor dan Bentong, Pahang.

 

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman serta ketua-ketua setiausaha dan ketua-ketua jabatan dan agensi.

 

Mulai kelmarin, seramai 5,000 anggota keluarga perkhidmatan awam digerakkan bagi membantu misi pasca banjir secara berperingkat dan mengikut penggiliran masing-masing.


 

PM

 


Mobilisasi anggota perkhidmatan awam itu adalah inisiatif serta tanggungjawab sosial penjawat awam bersama rakyat selari dengan semangat #KeluargaMalaysia untuk membantu rakyat yang terkesan akibat bencana banjir yang dihadapi baru-baru ini. - DagangNews.com