PM : Keluarga Malaysia perlu jadi 'mata dan telinga' kerajaan, elak ketirisan subsidi  | DagangNews Skip to main content

PM : Keluarga Malaysia perlu jadi 'mata dan telinga' kerajaan, elak ketirisan subsidi 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

PASIR SALAK 3 Julai - Keluarga Malaysia perlu menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan subsidi yang akhirnya merugikan semua pihak, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

 

Menurut beliau, cabaran yang dihadapi hari ini tidak mampu untuk ditangani sendirian oleh kerajaan, justeru, konsep Keluarga Malaysia amat penting untuk menyatukan semua rakyat tanpa mengira perbezaan ras, kepercayaan dan fahaman politik untuk bersama-sama berganding bahu menghadapinya. 

 

"Sekarang bukan masa untuk menuding jari kerana cabaran yang dihadapi pada hari ini amat berbeza dan mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah. 

 

"Seluruh tenaga perlu digembleng bersama untuk menghadapi cabaran ini dan seterusnya memacu semula ekonomi Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penutupan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi ke-5 Peringkat Negeri Perak, hari ini. 

 

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

 

AKM
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa menyampaikan bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Perak, hari ini.

 

 

Jelajah AKM peringkat negeri Perak membuka tirai sejak Jumaat dengan lebih 30,000 pengunjung dijangka menghadiri program yang dijadual berakhir pukul 6 petang hari ini.

 

Program itu sebelum ini telah diadakan di Johor, Perlis, Sabah dan Terengganu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada Keluarga Malaysia.

 

Perdana Menteri berkata, dunia hari ini telah berubah dengan ‘ganas’ dan dalam suasana global yang sedang bergelut untuk pulih daripada pandemik, dunia berhadapan dengan dua lagi cabaran besar iaitu ancaman geopolitik khususnya konflik Rusia-Ukraine dan perubahan iklim.

 

Keadaan ini, katanya, telah mengganggu rantaian bekalan global yang menyebabkan harga bahan mentah seperti makanan haiwan dan harga komoditi seperti minyak mentah dan minyak sawit meningkat dengan mendadak, lebih mahal. 

 

"Malah, beberapa negara pengeluar sumber makanan dunia seperti India dan Indonesia telah mengambil langkah menyekat eksport bahan makanan. 

 

"Ekoran itu, seluruh dunia berhadapan dengan ‘stagflasi’ yang bermaksud: kadar inflasi (inflation) meningkat, manakala kadar pertumbuhan ekonomi lembap (stagnation)," jelasnya. 

 

Ini menyaksikan negara-negara maju seperti United Kingdom mencatatkan kadar inflasi sebanyak 9.1% diikuti Amerika Syarikat (8.6%), Eropah (8.1%), Thailand (7.1%), Singapura (5.6%) dan Indonesia (3.6%).

 

"Malaysia pula mencatatkan inflasi sebanyak 2.8%, angka terendah di Asia Tenggara kerana usaha berterusan kerajaan dalam menangani situasi tersebut termasuk pemberian subsidi terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM77 bilion.

 

"Dalam hal ini, kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia mengenai kenaikan harga barang khususnya membabitkan bahan makanan," katanya. 

 

Menurut Ismail Sabri, pelbagai usaha juga sedang dilakukan untuk jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi mengatasi masalah ini khususnya bagi memastikan sekuriti makanan negara sentiasa terjamin. 

 

"Kerajaan sentiasa komited dalam melaksanakan langkah proaktif melalui pengubahsuaian dasar-dasar tertentu, seiring dengan perubahan senario ekonomi global, yang lazimnya di luar kawalan kita," tambahnya. - DagangNews.com