PM ketuai komitmen, sokongan Malaysia di Sidang Kemuncak D-8 esok | DagangNews Skip to main content

PM ketuai komitmen, sokongan Malaysia di Sidang Kemuncak D-8 esok

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 April - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) kali ke-10, diadakan secara maya pada 8 April 2021 (esok). 

 

Sidang kemuncak berkenaan dihoskan oleh Bangladesh selaku Pengerusi Sidang Kemuncak D-8. 

 

Kementerian Luar Negeri dalam sebuah kenyataan memberitahu, penyertaan Malaysia ke sidang kemuncak itu secara langsung menzahirkan komitmen dan sokongan berterusan negara terhadap inisiatif-inisiatif di bawah rangka kerjasama D-8.

 

Jelas kementerian itu, sidang kemuncak tersebut juga dijangka menjana idea dan inisiatif baharu bagi mencapai objektif dan aspirasi Kumpulan D-8. 

 

“Para pemimpin dijangka membincang dan memperhalusi perkembangan serta pencapaian kerjasama ekonomi yang wujud sejak dua dekad yang lalu seterusnya merangka rancangan kerjasama ekonomi untuk dekad seterusnya. 

 

“Para pemimpin juga akan menerima pakai dua dokumen hasil iaitu Deklarasi Dhaka dan Pelan Hala Tuju D-8 2020-2030. 

 

“Deklarasi Dhaka akan memperkukuh komitmen negara anggota bagi menyempurnakan objektif dan kerjasama D-8 dalam merangka strategi masa hadapan manakala Pelan Hala Tuju D-8 bagi tempoh 2020 – 2030 akan menyediakan garis panduan bagi pemantauan dan penilaian ke atas pencapaian D-8 untuk 10 tahun,” jelas kenyataan itu. 

 

Sidang kemuncak itu telah didahului dengan sesi mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 ke-19 yang disertai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 7 April 2021 (hari ini).

 

Sesi Mesyuarat Pesuruhjaya D-8 Ke-43 pula telah diadakan pada 5 – 6 April 2021, kata Wisma Putra. 

 

“Tema sidang kemuncak pada tahun ini iaitu “Partnership for a Transformative World: Harnessing the Power of Youth and Technology”, adalah bertepatan dengan agenda D-8 untuk mengkaji semula inisiatif sedia ada dan pada masa yang sama meneroka peluang baharu melalui pemerkasaan belia dan teknologi digital, dalam menangani cabaran ekonomi global, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. 

 

“Kerjasama ekonomi di bawah Kumpulan D-8 meliputi enam bidang keutamaan iaitu perdagangan, kerjasama industri dan perusahaan kecil dan sederhana, pertanian, pengangkutan, tenaga dan mineral serta pelancongan,” tambah kementerian itu.

 

Lebih menarik, Setiausaha Agung D-8 kini ialah Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, iaitu rakyat Malaysia pertama yang dilantik ke jawatan tersebut. 

 

Beliau telah dilantik pada 1 Januari 2018 untuk tempoh 4 tahun. - DagangNews.com