PM lahirkan kebimbangan mengenai isu penghantar makanan e-hailing | DagangNews Skip to main content

PM lahirkan kebimbangan mengenai isu penghantar makanan e-hailing

Khaizulnizam Mohamad Zuldin (tiga dari kanan) bertemu wakil-wakil rider di sebuah restoran di Kuala Lumpur pada 5 Ogos 2022.

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Wakil persatuan e-hailing dan p-hailing akan bertemu Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Manusia bagi membincangkan isu yang dihadapi mereka.

 

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Khaizulnizam Mohamad Zuldin berkata pertemuan dengan wakil dua persatuan itu bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan diadakan pada Isnin ini di Putrajaya.

 

“Sementara itu mesyuarat wakil e-hailing dan p-hailing dengan Menteri Sumber Manusia akan diatur tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan wakil Persatuan Pemandu Grab Malaysia dan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia di sebuah restoran di Jalan Ampang di sini pada hari Jumaat.

 

Menurut Khaizulnizam, pertemuannya dengan wakil kedua-dua persatuan itu susulan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob melahirkan kebimbangan terhadap isu yang dihadapi persatuan itu.

 

“Saya telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk berjumpa dengan penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing bagi mendengar masalah yang dihadapi oleh mereka.

 

“Perdana Menteri amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing,” katanya.

 

Beliau berkata, Kerajaan sentiasa mendengar masalah yang dihadapi oleh setiap ahli Keluarga Malaysia.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani berkata persatuan itu tidak berpuas hati kerana caj penghantaran telah dikurangkan oleh syarikat pemberi perkhidmatan itu.

 

Timbalan Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Mohd Azril Ahmat berharap wakil kerajaan mendengar keluhan mereka sebelum membuat sebarang keputusan.

 

Terdahulu, poster media sosial pada '1 Off Day' dan 'Food Delivery Blackout pada Jumaat, 5 Ogos 2022' diikuti dengan mesej untuk memboikot perkhidmatan penghantaran. - DagangNews.com