PM mahu kadar ECRL berpatutan, sangkal dakwaan tambang melebihi pesawat | DagangNews Skip to main content

PM mahu kadar ECRL berpatutan, sangkal dakwaan tambang melebihi pesawat

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

BENTONG 23 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang perkhidmatan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang amat berpatutan.

 

Ismail Sabri berkata, tambang itu seharusnya seperti kadar tambang perkhidmatan tren elektrik (ETS) KTM yang mesra rakyat.

 

"Baru-baru ini kita tengok ada di dalam media sosial, dah ada dah membuat fitnah dan sebagainya yang mengatakan tambangnya (ECRL) lebih mahal daripada naik pesawat. 

 

"Jadi saya harap Menteri Pengangkutan lihat dengan serius perkara yang melibatkan tambang," katanya ketika berucap merasmikan permulaan pengorekan terowong ECRL dengan kaedah mesin pengorek terowong (TBM) di tapak pembinaan Terowong Berkembar Genting, di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sebuah syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) sedang dirancang penubuhannya bagi menjayakan pengendalian operasi perkhidmatan ECRL termasuk menanggung kos dan risiko operasi secara bersama.

 

Beliau berkata, kerajaan juga difahamkan bahawa pihak MRL bakal menjana pendapatan sampingan yang dapat menampung kos pengoperasian dan bayaran balik pinjaman pembinaan Projek ECRL dari China EXIM Bank.

 

"Syarikat usaha sama ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi kereta api serta bersama-sama mengendali dan menyelenggarakan ECRL untuk jangka masa panjang," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau berkata, projek ECRL juga menyaksikan penglibatan lebih daripada 1,500 buah syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding.

 

"Ini sejajar dengan persetujuan antara MRL dan CCCC untuk melantik subkontraktor dan pembekal tempatan bagi sekurang-kurangnya 40% daripada kerja-kerja sivil projek ini yang dianggarkan bernilai sehingga RM10 bilion. 

 

"Setakat bulan April 2022, lebih RM7 bilion nilai kontrak kerja-kerja sivil telah ditawarkan kepada subkontraktor dan pembekal tempatan bagi projek ECRL di negeri-negeri Pantai Timur. Pihak CCCC juga bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor kecil yang bersaiz Gred G1-G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka," katanya.

 

Katanya, sebuah ‘Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL’ telah ditubuhkan bagi memantau dan memastikan penyertaan efektif syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan.

 

Sementara itu, beliau berkata, projek ECRL akan mempunyai 20 buah stesen iaitu 10 buah stesen penumpang dan selebihnya stesen gabungan penumpang dan kargo, menghubungkan bandar raya, bandar-bandar, taman-taman perindustrian dengan lebih efektif serta meningkatkan sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar.

 

Beliau berkata, perkhidmatan ECRL yang berkelajuan 160 kilometer (km) sejam juga dihubungkan dengan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya Line di ITT Gombak, sekali gus mengurangkan masa perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan kepada empat jam berbanding purata tujuh jam melalui jalan raya atau sehingga 12 jam ketika musim perayaan.

 

"Dijangka beroperasi pada bulan Januari 2027, ia akan menawarkan jalinan pengangkutan lebih moden, selamat dan efisien ke Pantai Timur. Jajaran ECRL ini juga dapat menghubungkan dengan perkhidmatan KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) di tiga buah stesen pertukaran iaitu Temerloh di Pahang, Serendah dan Jalan Kastam di Selangor.

 

"Justeru, kemasukan ‘Pintasan Serendah’ sebagai sebahagian dari skop Projek ECRL bagi perkhidmatan KTMB, akan melengkapkan penubuhan hab kargo nasional atau transhipment hub di Serendah," katanya.

 

 

ecrl

 

 

Tambahnya, perkhidmatan ECRL dan KTMB juga bakal membentuk jajaran rel bersepadu menghubungkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pelabuhan Pulau Pinang; Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Pelabuhan Kuantan, serta Iskandar Malaysia dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di selatan.

 

"Projek ECRL ini merupakan antara elemen penting yang akan menyempurnakan sektor pengangkutan negara dan seterusnya memberi keselesaan kepada Keluarga Malaysia. Menjadi hasrat kerajaan supaya projek ini menjadi pencetus perubahan atau "game changer" dan dapat disiapkan secepat yang boleh bagi membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negara," katanya. - DagangNews.com