Skip to main content

PM New Zealand berharap APEC setuju Wawasan Pasca 2020 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern meletakkan harapan supaya pemimpin-pemimpin APEC mempunyai kata sepakat berhubung Wawasan Pasca 2020 yang bakal dicapai malam ini. 

 

“Walaupun saya tidak mahu membuat keputusan awal berhubung perjumpaan kita malam ini, saya berharap pemimpin-pemimpin APEC akan bersetuju atas satu Wawasan Asia Pasifik baharu untuk memberi panduan kepada tugas kita bagi tempoh 20 tahun akan datang, menumpukan tiga penggerak pertumbuhan ekonomi iaitu pelaburan, inovasi digital dan kelestarian serta keterangkuman,” ucapnya pada APEC CEO Dialogues 2020 berlangsung tadi. 

 

APEC CEO Dialogues 2020 berlangsung selama 25 jam dalam lapan zon waktu berbeza bermula semalam. 

 

Mengumpulkan ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat global, pemimpin-pemimpin dan tidak ketinggalan pakar diiktiraf, APEC CEO Dialogues diibaratkan sebagai sebuah ‘perjumpaan peringkat lembaga Asia Pasifik’. 

 

Pada malam ini, pemimpin-pemimpin APEC 2020 (AELM) bakal berjumpa secara maya antaranya bertujuan memuktamadkan dokumen Wawasan Pasca 2020 yang menggantikan Matlamat Bogor. 

 

Dokumen itu bakal bertindak sebagai titik rujukan utama bagi rantau berkenaan. 

 

Selain itu, AELM juga bakal mencapai deklarasi pemimpin-pemimpin yang masih kabur sejak dua tahun lalu, di mana kata sepakat itu adalah penting untuk menterjemahkan kepimpinan APEC sebagai forum ekonomi serantau utama. 

 

AELM bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melibatkan 21 pemimpin-pemimpin anggota APEC serta turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva. 

 

Bakal menjadi tuan rumah APEC pada tahun hadapan, Ardern dalam ucapannya meminta tiga perkara daripada ekonomi-ekonomi APEC iaitu bersatu merancakkan semula pertumbuhan dan pelan pemulihan ekonomi jangka masa panjang; bekerjasama dalam kepimpinan dan inovasi; serta berkembang bersama-sama untuk menerapkan kesejahteraan dan kelestarian. 

 

“Sekiranya ekonomi APEC mahu berterusan berkembang dalam jangka masa panjang, kita perlu memastikan pertumbuhan itu mampan dan menyeluruh. 

 

“Memandangkan kita cuba bangun lebih baik daripada krisis COVID-19, kebanyakan daripada kita di seluruh rantau membuat keputusan untuk melabur dalam infrastruktur yang akan mengembangkan peluang pekerjaan dan meletakkan kita dalam landasan sifar karbon,” tambah Ardern. - DagangNews.com

 

logo apec