PM rasmikan laluan Sungai Tangap-Pujut Lebuh raya Pan Borneo di Miri Ahad ini | DagangNews Skip to main content

PM rasmikan laluan Sungai Tangap-Pujut Lebuh raya Pan Borneo di Miri Ahad ini

Pemandangan waktu malam laluan Sungai Tangap-Pujut dalam Lebuh raya Pan Borneo di Miri yang sudah siap. - Gambar The Borneo Post

MIRI 5 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan pembukaan projek Lebuh raya Pan Borneo seksyen Pujut pada Ahad ini (7 Ogos), sebagai sebahagian daripada jadual lawatan pertamanya ke bandar ini.

 

Majlis yang akan diadakan di sebuah pusat beli-belah itu, bakal dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan tetamu kenamaan lain.

 

Laluan tersebut yang baru siap, merangkumi Persimpangan Pujut Link, adalah di bawah kontrak pakej kerja jalan penghubung Sungai Tangap-Pujut di dalam pembangunan Lebuhraya Pan Borneo, dan kini dibuka kepada pengguna jalan raya selepas penyerahan simbolik projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor pada 31 Mac lalu.

 

Sejak itu, ia telah memudahkan puluhan ribu penumpang setiap hari untuk mengalami aliran trafik yang lebih lancar dan lebih baik berbanding sebelum ini.

 

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata projek itu, yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini tetapi telah dilaksanakan oleh pentadbiran sekarang, telah menghapuskan 'kelajuan merangkak siput' trafik harian di bandar berpenduduk padat yang dialami setiap hari sebelum ini.

 

Mengenai lawatan Perdana Menteri ke Miri, Lee berkata beliau akan turut mengemukakan rayuan untuk kelulusan segera projek Persekutuan yang telah lama ditunggu-tunggu untuk menukar Bulatan Pujut 3 menjadi persimpangan dengan lampu isyarat pintar.

 

"Saya berharap Perdana Menteri akan meluluskan pelaksanaan projek ini dalam tahun ini," kata Lee. - DagangNews.com