PM seru lebih ramai penyelidik tempatan bangunkan inovasi agromakanan negara | DagangNews Skip to main content

PM seru lebih ramai penyelidik tempatan bangunkan inovasi agromakanan negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

MERSING 9 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru lebih ramai penyelidik tempatan dalam pelbagai bidang kepakaran tampil mengetengahkan penyelidikan dan pembangunan dan menggembleng tenaga bagi membangunkan inovasi agromakanan negara.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan usaha mempertingkatkan produktiviti industri padi dilakukan secara proaktif termasuk memperkenalkan teknologi terkini bagi mendepani cabaran serta memperkasakan keupayaan. 

 

Beliau berkata, beliau juga telah dimaklumkan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memberikan dana penyelidikan kepada syarikat pengeluar padi sah di Sekinchan dengan kerjasama Agensi Nuklear bagi membangunkan Loji Pengeluaran Benih Asas Padi IS21 mengikut piawaian prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa bagi menghasilkan benih sah yang berkualiti tinggi.

 

"Semasa saya di Kementerian Pertanian, terdapat beberapa cadangan untuk menghasilkan benih padi yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan pendapatan petani dan pesawah. Saya melihat terdapat dua jenis benih padi. Pertama, jenis benih padi yang tahan jika ditenggelami air. 

 

"Di beberapa negara seperti Filipina dan India sudah ada. Sekiranya berlaku banjir sekali pun, tanaman padi tidak akan rosak jika ditenggelami air.  Yang kedua, jenis benih padi yang tidak menggunakan air yang banyak. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjalankan kajian ini, di mana padi itu tidak memerlukan air yang banyak seperti penggunaan tali air. Ia hanya memerlukan sprinkler. 

 

"Kajian dan ujian telah pun dijalankan, cuma ketika itu dari segi hasilnya agak rendah iaitu antara 3 hingga 4 tan sahaja. Jadi apa yang perlu kita lakukan, MOSTI dan MARDI perlu bekerjasama menjalankan kajian supaya benih padi jenis berkenaan mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak.  Jika ia dapat direalisasikan, hasilnya tentu lebih tinggi dan dapat memberi keuntungan kepada petani," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 Kepada Komuniti di Balai Raya Kampung Semaloi, Endau, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, benih padi yang diberi nama IS21 itu merupakan benih padi baharu berteknologi tinggi yang telah dihasilkan oleh Agensi Nuklear Malaysia, iaitu sebuah agensi penyelidikan dalam bidang nuklear di bawah MOSTI.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau berkata, benih padi IS21 baru sahaja beliau lancarkan pada 4 bulan lalu iaitu pada 20 November 2021 di Sekinchan, Selangor. 

 

"Alhamdulillah, para pesawah dan petani yang telah menggunakan padi benih IS21 ini telah memberi maklum balas positif.  Lebih istimewa, kos pengurusan sawah juga telah dapat dikurangkan memandangkan penanaman padi jenis ini tidak memerlukan penggunaan baja yang banyak.

 

"Berdasarkan maklum balas ini, saya percaya, jika dilebar luas penggunaan benih padi IS21 di Endau, para pesawah dan petani juga akan dapat menikmati manfaat daripada segi peningkatan pendapatan dan seterusnya taraf hidup mereka," katanya.

 

Beliau berkata, benih padi IS21 mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan mempunyai daya rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering merugikan pesawah. 

 

Selain itu beliau berkata, baka padi IS21 juga berpotensi menghasilkan padi sehingga 9 tan sehektar mengikut kawasan penanaman dan amalan kultura pesawah jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang disyorkan. 

 

"Saya yakin dengan bantuan benih padi daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan ini, pesawah juga akan mendapat pulangan yang lebih baik. InsyaAllah.



Katanya, benih padi yang berkualiti boleh membantu negara meningkatkan pengeluaran hasil padi dan membantu meningkatkan tahap sara diri negara.

 

Beliau berkata, ia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada beras import serta dapat menjamin sekuriti makanan negara dan menyokong Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

 

"Bagi memastikan sumber makanan negara terjamin, selamat dan mencukupi, kerajaan sentiasa berusaha ke arah mencari kaedah-kaedah terbaik yang mampu meningkatkan penghasilan padi. Sudah pasti golongan yang memainkan peranan paling penting dalam produktiviti industri padi negara adalah para pesawah serta petani dan kebajikan mereka adalah tanggungjawab kerajaan.

 

"Membesar sebagai anak petani, saya memahami denyut nadi serta pahit jerih setiap petani di sini dan pada hari ini, saya memberi komitmen untuk memastikan tidak ada yang tercicir. Kebajikan petani serta Keluarga Malaysia akan sentiasa mendapat perhatian khusus daripada saya. InsyaAllah," katanya. - DagangNews.com