PM seru semua pihak ketepikan fahaman politik untuk pulihkan negara | DagangNews Skip to main content

PM seru semua pihak ketepikan fahaman politik untuk pulihkan negara

PUTRAJAYA 24 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru semua pihak untuk mengetepikan latar belakang serta fahaman politik demi membawa negara keluar daripada kemelut COVID-19 serta memulihkan ekonomi, melalui pendekatan Keluarga Malaysia.

 

Beliau berkata, bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi, beliau turut mengajak semua kerajaan negeri agar menyegerakan pelaksanaan projek-projek berkaitan ekonomi dan perniagaan.

 

Menurutnya, antara perkara yang perlu ditangani dan ditambah baik ialah kelewatan proses kelulusan berkaitan tanah dan lesen perniagaan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

 

‘’Semua kerajaan negeri juga perlu meningkatkan sistem dan proses penyampaian dengan mengurangkan kerenah birokrasi menerusi inisiatif pendigitalan.

 

‘’Mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama melibatkan projek-projek pembangunan di negeri-negeri,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 semalam, setelah lebih setahun tidak bersidang akibat pandemik COVID-19. Kali terakhir Mesyuarat MBKM diadakan ialah pada 17 Mac.

 

Menurut Perdana Menteri, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia sebagai satu pendekatan inklusif, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat pada kali ini.

 

Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) telah membentangkan Belanjawan 2022 yang kini dalam peringkat perbahasan, dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) telah diluluskan pada 21 Oktober 2021 kepada Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.


 

PM

 

 

Ismail Sabri berkata, turut dibincangkan adalah usaha bersama kerajaan pusat dan negeri untuk merealisasi Agenda Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negara termasuk memulih kemusnahan hutan dan degradasi tanah menjelang tahun 2030.

 

Bagi mencapai matlamat tersebut ujar beliau, kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian insentif kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti.

 

‘’Pemberian berbentuk pampasan tersebut merupakan inisiatif untuk menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri meningkatkan penjagaan serta pemuliharaan hutan termasuk mengawal aktiviti pembalakan dan mewartakan kawasan tadahan air,’’ kata beliau.

 

Ismail Sabri berkata, bagi tujuan penyelarasan inisiatif digital di peringkat negeri dan persekutuan, kerajaan akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negeri (MED4IR Negeri) dan ia akan turut meneliti caj dan fi perkhidmatan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang menyebabkan kadar bayaran perkhidmatan telekomunikasi yang tinggi dan membebankan rakyat.

 

Dalam mesyuarat tersebut kata Perdana Menteri lagi, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK). – DagangNews.com