PM terima laporan 100 hari pencapaian setiap menteri Kabinet | DagangNews Skip to main content

PM terima laporan 100 hari pencapaian setiap menteri Kabinet

KUALA LUMPUR 25 Nov - Semua Menteri Kabinet mengemukakan pencapaian kementerian yang diterajui mereka dalam tempoh 100 hari, sempena Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) pada Rabu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pada sesi Hari Kad Laporan yang diadakan di bangunan Parlimen di sini, beliau dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali menerima kad laporan daripada seluruh kementerian.

 

"Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kepada semua di atas kerjasama yang diberikan.

 

"Seperti yang sering saya tekankan sebelum ini, setiap kementerian mestilah mengekalkan prestasi kerja yang tinggi setiap masa.

 

"Rakyat sentiasa menilai sama ada sasaran yang diletakkan kepada setiap menteri berjaya dicapai atau pun tidak," kata Perdana Menteri melalui Facebook, malam tadi.

 

Video sesi pertemuan dan penyerahan kad laporan itu turut dimuat baik di Facebook beliau.

 

Ketika mengumumkan pelantikan anggota Kabinet 27 Ogos lalu, Perdana Menteri menetapkan setiap menteri perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama perkhidmatan. - DagangNews.com