PM umum Permai, pakej rangsangan baharu bernilai RM15 bilion | DagangNews Skip to main content

PM umum Permai, pakej rangsangan baharu bernilai RM15 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kerajaan hari ini mengumumkan pakej rangsangan baharu, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang bernilai sebanyak RM15 bilion. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pakej bantuan Permai menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. 

 

“Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Permai yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu Memerangi Wabak COVID-19, Memelihara Kebajikan Rakyat dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan,” katanya ketika mengumumkan pakej bantuan itu secara langsung di Facebook.

permai

Ujar Muhyiddin, semenjak bermulanya penularan wabak COVID-19 awal tahun lepas, kerajaan telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion atau lebih 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi membantu rakyat dan perniagaan serta melindungi ekonomi. 

 

Pakej-pakej rangsangan ekonomi itu telah melibatkan RM55 bilion suntikan fiskal oleh kerajaan.

 

“Melalui pemantauan oleh agensi LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan, saya telah dimaklumkan bahawa usaha pelaksanaan oleh 53 kementerian dan agensi-agensi kerajaan telah memastikan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan menerima manfaat langsung daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi ini. 

 

“Turut menyokong usaha pemulihan ekonomi adalah Belanjawan 2021 yang diumumkan pada 6 November yang lepas. 

 

“Belanjawan ini menyediakan peruntukan terbesar dalam sejarah negara sebanyak RM322.5 bilion,” tambah Muhyiddin lagi. 

 

Untuk baca teks ucapan penuh pengumuman pakej bantuan Permai, klik di sini. - DagangNews.com