PM usul elaun JKM dinaikkan segera kepada RM1,000 | DagangNews Skip to main content

PM usul elaun JKM dinaikkan segera kepada RM1,000

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Mengambil kira keadaan ekonomi serta kos sara hidup semasa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinaikkan kepada RM1,000. 

 

Ketika ini, elaun itu diberi pada kadar antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU). 

 

“Saya akan pastikan cadangan ini dapat dilaksanakan segera. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran status di Facebook rasmi miliknya hari ini. 

 

Hantaran status itu bersempena sambutan Hari OKU Sedunia 2020. 

 

Dalam masa sama, Muhyiddin berharap kempen mendaftarkan OKU dipergiatkan lagi bagi memastikan tiada golongan itu yang tercicir dan tidak diberikan perhatian. 

 

Katanya, perkara itu sangat penting untuk menjamin golongan berkenaan tidak terlepas daripada menerima bantuan kerajaan, terutamanya ketika situasi sukar penularan pandemik COVID-19.

 

“Golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang sentiasa dekat dan diberi perhatian oleh saya dan kerajaan.

 

“Saya sendiri telah beberapa kali turun menemui golongan ini sebagaimana ketika kunjungan saya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak serta PPR Taman Sri Keramat, Putatan, Sabah sebelum ini.

 

“Rentetan itu, kerajaan melalui Kementarian Kewangan telah mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh membantu golongan OKU ketika membentangkan Belanjawan 2021 baru-baru ini,” tambah Muhyiddin. 

 

Inisiatif itu antaranya menaikkan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja daripada RM250 ke RM300, kadar elaun pekerja OKU RM400 ke RM450 serta bantuan penjagaan OKU daripada RM350 ke RM500.

 

“Saya doakan semoga golongan OKU diberikan tempat sebaiknya dalam kalangan masyarakat, seterusnya dapat sama-sama berperanan dalam pembangunan negara,” katanya lagi. - DagangNews.com