Skip to main content

PMKS perlu bersedia hadapi ekonomi dunia semakin mencabar - Dr Azizan Osman

Datuk Wira Dr Azizan Osman

KUALA LUMPUR 22 Sept - Bangsa usahawan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu bersedia untuk berdepan rintangan khususnya ekonomi dunia yang semakin mencabar ketika ini.

 

Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks), Radz Mohd berkata, persediaan tersebut seperti dikatakan mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman boleh menjadi kunci untuk mereka bertahan bahkan berkembang lagi.

 

“Kami tahu, kebanyakan usahawan dalam situasi tidak berapa baik ekoran kenaikan kos operasi disebabkan faktor dalaman dan luaran kepada mereka.

 

“Bukan itu sahaja, perubahan trend pembelian juga buatkan usahawan buntu hingga tidak tahu fokus yang mana di samping strategi yang kurang tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semalam, RichWorks bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyaksikan detik bersejarah dalam usaha rintis melahirkan usahawan jutawan desa melalui Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB).

 

Mengulas mengenai kerjasama itu, Radz berkata, pihaknya berterima kasih atas kepercayaan diberikan KPLB di bawah Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan pengurusannya dalam usaha rintis melahirkan 25 bakal jutawan usahawan desa.

 

“Dr. Azizan dan RichWorks mempunyai formula terbukti, ilmu dan strategi terkini, bagi seseorang usahawan itu transformasikan bisnes ke tahap lebih tinggi.

 

 

richworks
Datuk Wira Dr. Azizan Osman (tengah) bergambar bersama usahawan desa ketika Majlis Pelancaran Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) pada 21 September 2022.

 

 

“Kami bercakap berdasarkan bukti dan pencapaian dalam membimbing usahawan yang mana seramai 326 usahawan berjaya mencapai jualan RM1 juta pertama mereka sejak 2019 dan bagi tahun lalu sahaja, seramai 72 usahawan jutawan dilahirkan,” jelasnya.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, kini pilihan kepada usahawan desa terlibat untuk betul-betul menggunakan peluang bimbingan itu, ilmu dan panduan terbukti untuk lebih maju ke hadapan.

 

"Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, KPLB memberikan peluang kepada mereka, maka tunjukkannya dengan komitmen yang tinggi untuk capai sasaran RM1 juta pertama," ujarnya.

 

 

mahdzir
Datuk Seri Mahdzir Khalid

 

 

Dalam pada itu, Radz juga menyaksikan sebenarnya masih ramai usahawan di luar sana termasuk dari luar bandar yang berniaga lebih tiga tahun, mempunyai impian untuk mencapai RM1 juta, namun belum berjaya lagi.

 

"Sebab itu, kami menjemput usahawan-usahawan ini, yang sudah bertahun berniaga untuk hadir ke 10X Bina Bisnes Berjaya pada hujung Oktober nanti," katanya.

 

Untuk keterangan lanjut, layari www.binabisnesberjaya.com. - DagangNews.com