PN tidak teruskan pengambilalihan 4 lebuh raya Gamuda | DagangNews Skip to main content

PN tidak teruskan pengambilalihan 4 lebuh raya Gamuda

Gamuda

KUALA LUMPUR 25 Jun – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak meneruskan pengambilalihan empat lebuh raya bertol yang dikuasai Gamuda Bhd iaitu Damansara-Puchong Expressway, SPRINT Expressway, Shah Alam Expressway, dan SMART Tunnel.

Menurut nota analisis oleh Affin Hwang Capital Research, sebaliknya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menumpukan kepada projek-projek perkongsian awam-swasta bagi pembangunan prasarana.

Menurut Affin Hwang, pihaknya percaya kerajaan tidak akan meneruskan pengambilalihan lebuh raya bertol Gamuda bernilai RM2.36 bilion, disebabkan kekangan kewangan ketika defisit Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat susulan pengenalan langkah-langkah rangsangan ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19.

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

 

"Kami dimaklumkan Gamuda telah menghubungi kerajaan bagi mendapatkan maklum balas industri mengenai langkah menghidupkan semula projek prasarana mega seperti projek MRT3 untuk melonjakkan ekonomi,’’ kata pengarah bersekutu kanan penyelidikan ekuiti  Affin Hwang Capital Research, Loong Chee Wei dalam nota yang diterbitkan hari ini.

Mengimbas kembali, cadangan pengambilalihan empat lebuh raya itu pertama kali dicetuskan semasa era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada Jun tahun lalu. Ketika itu, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi terbitan bon yang dibiayai dan dibayar sepenuhnya daripada pungutan tol lebuh raya berkenaan.

Susulan itu pada Oktober 2019 semasa pembentangan Bajet 2020, Guan Eng berkata, Kabinet telah meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya tersebut.

Berikutan pertukaran kerajaan pusat pada Mac lalu, Loong berkata, wujud ketidakpastian sama ada kerajaan baharu akan meneruskan jaminan ke atas bon yang bakal diterbitkan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk membiayai komponen LRT Bayan Lepas.

Projek LRT itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bernilai beratus juta ringgit, di mana Gamuda dilantik sebagai Rakan Kongsi Penyampai Projek (PDP).

"Konsortium SRS yang diketuai Gamuda dijangka memeterai perjanjian PDP untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dengan kerajaan negeri pada suku ketiga tahun ini setelah tertangguh sekarang.

"Namun, Konsortium SRS berkemungkinan besar akan menerusikan projek tambakan Selatan Pulau Pinang bernilai RM8 bilion untuk Pulau A pada suku pertama tahun hadapan, apabila perjanjian PDP dimeterai,’’ menurut Loong lagi.