PNB lancar ASN Equity Global dengan pelaburan minimum RM10 | DagangNews Skip to main content

PNB lancar ASN Equity Global dengan pelaburan minimum RM10

 

 


KUALA LUMPUR 30 Ogos – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperkenalkan ASN Equity Global.

 

Dana ASNB pertama yang memfokus kepada ekuiti global ini akan mula ditawarkan mulai 1 September 2021.

 

ASN Equity Global sesuai untuk pelabur dengan toleransi risiko tinggi, kerana dana ini menggunakan strategi pelaburan pertumbuhan modal dengan pendedahan yang tinggi di pasaran antarabangsa. 

 

Bersesuaian dengan namanya, fokus pelaburan adalah pada ekuiti global dengan peruntukan aset hingga 99%, yang mana dana ini menggunakan strategi pelaburan dalam syarikat berprospek tinggi, serta yang mendapat manfaat menerusi megatrend global.

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, pelancaran ASN Equity Global merupakan satu lagi kejayaan bagi PNB dan ASNB, terutama dalam menunaikan amanat kepada semua rakyat Malaysia dengan memberikan akses mudah ke pasaran global dengan modal permulaan yang berpatutan. 

 

"Rangkaian produk unit amanah kami yang komprehensif kini merangkumi pelbagai geografi dan kategori dana, iaitu dana konservatif, seimbang dan pertumbuhan, yang membolehkan pemegang unit memenuhi matlamat kewangan dan pelaburan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ASN Equity Global diuruskan oleh pasukan pengurus dana profesional PNB yang berpusat di Kuala Lumpur dan juga pejabatnya di London, bagi meneroka dan merebut peluang pelaburan di lebih daripada 50 pasaran saham global utama.

 

Pelaburan permulaan minimum hanya RM10 dan pelaburan tambahan pula serendah RM1. 

 

Bermula 1 September ini, pelabur boleh melanggan ASN Equity Global pada harga tawaran awal RM1 seunit sehingga 21 September 2021 di semua saluran, termasuk portal www.myasnb.com.my dan aplikasi mudah alih myASNB, cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara, serta kemudahan perbankan internet ejen ASNB. 

 

Mulai 1 September hingga 31 Disember 2021, ASNB menawarkan kadar caj jualan yang lebih rendah untuk semua langganan di kaunter. - DagangNews.com