Polemik Belanjawan 2021, bukan pentas 'berputih mata' | DagangNews Skip to main content

Polemik Belanjawan 2021, bukan pentas 'berputih mata'

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

Tidak pernah dalam sejarah sesebuah pembentangan belanjawan negara tidak diluluskan. 

 

Namun, Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu menerima reaksi sebaliknya apabila segelintir Ahli-ahli Parlimen mahu menyokongnya, tetapi dengan bersyarat. 

 

Sesi pengundian Belanjawan 2021 dijangka dijalankan esok.

 

Baguslah apabila sesebuah pembentangan belanjawan dikritik menandakan pihak kerajaan mahupun pembangkang inginkan yang terbaik buat rakyat. 

 

Bagaimanapun, ketika negara sedang menerima ‘tamparan hebat’ akibat penularan COVID-19, pergolakan dari segi politik tidak wajar timbul.

 

Ahli-ahli Parlimen tidak mahu menyokong Belanjawan 2021 selagi tidak ‘diubahsuai’ untuk kebajikan rakyat, tetapi rakyat yang sebenarnya bimbang jika bajet itu tidak diluluskan.

 

Antara yang diperjuangkan adalah pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun satu secara 'lump sum' dan lanjutan pinjaman moratorium.

 

Bagi perspektif KWSP dan Bank Negara Malaysia (BNM), kedua-duanya pasti lebih mengetahui impak-impak daripada langkah yang diambil itu boleh membawa kepada kesan limpahan lebih besar. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias mengingatkan pengeluaran jumlah yang besar daripada akaun satu akan melemahkan jaringan keselamatan bagi menangani perbelanjaan jangka pendek melibatkan COVID-19.

 

Ini boleh membawa kepada kesan yang lebih besar ekoran kadar jangka hayat penduduk Malaysia semakin meningkat.

 

Dalam masa sama, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus menegaskan, apabila kerajaan meletakkan duit dalam poket rakyat, akan berlaku banyak gangguan kepada ekonomi.

 

Langkah pemberian moratorium secara menyeluruh kepada semua golongan bukanlah sesuatu yang baik kepada ekonomi negara. 

 

Sedangkan, jumlah pembayaran balik pinjaman kian meningkat berdasarkan situasi pemulihan ekonomi.

 

Ketika Malaysia mengharungi situasi yang tidak pernah terjadi sebelum ini, dasar-dasar negara tidak boleh dirancang dalam keadaan panik.

 

Pelbagai pihak memberi amaran akan implikasi jika Belanjawan 2021 tidak disokong.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sendiri mendedahkan kepada Dewan Rakyat sekiranya belanjawan ini tidak diluluskan, kerajaan tiada daya untuk membayar komitmen mereka termasuk gaji kakitangan awam.

 

Apatah lagi pemberian bantuan kepada rakyat. 

 

Sudahlah hidup rakyat ketika ini diibarat air lalu kubangan tohor.

 

Sememangnya kerajaan boleh menggunakan Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan sebuah rang undang-undang (RUU) berasingan dikemukakan untuk membenarkan perbelanjaan penting dibuat.

 

Tidak pernah berlaku sebelum ini. 

 

Tetapi, Perkara itu hanya wajar digunakan apabila kerajaan mahu memohon untuk tambahan dana setelah sesebuah belanjawan diluluskan, dan bukannya untuk digunakan bagi peruntukan bajet. 

 

Pakar Perlembagaan, Prof Dr. Shamrahayu A Aziz dalam sebuah program di Bernama TV baru-baru ini memberi amaran tegas sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, implikasinya sangat besar, serius dan berbahaya.

 

Kerajaan tidak dapat menggunakan wang perbendaharaan negara seterusnya menjejaskan urusan pentadbiran selain usaha menangani pandemik COVID-19 serta ekonomi yang meruncing.

 

Belanjawan 2021 diberikan peruntukan terbesar dalam sejarah ketika negara berdepan pelbagai krisis terutamanya ekonomi akibat pandemik COVID-19. 

 

Belanjawan sudah dibentang, rakyat pun telah mendengarnya. Lagi tinggi lah harapan yang diletakkan supaya belanjawan itu diluluskan. 

 

Pengembangan fiskal yang dilakukan oleh kerajaan menjadi satu-satunya harapan utama untuk memastikan Malaysia berada di landasan pemulihan yang tepat. - DagangNews.com