Politik Netizen Menangguk di Banjir Keruh | DagangNews Skip to main content

Politik Netizen Menangguk di Banjir Keruh

Saudara Pengarang,

Musibah banjir yang melanda baru-baru ini membawa banyak pengajaran kepada kita. Menurut saintis alam sekitar Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, “Kita tidak boleh menyalahkan (cuaca) sebagai satu-satunya punca bencana. Faktor manusia adalah penyumbang utama kejadian.” (Berita Harian, 22 Disember 2021).
 

Di sebalik kemajuan ekonomi yang telah dinikmati negara sejak Merdeka, nyawa dan harta rakyat masih dalam risiko tinggi bila menghadapi fenomena banjir.

 

Malah segala pembangunan pesat inilah antara penyebab utama terjadinya banjir yang mengorbankan jiwa dan mengakibatkan berbilion ringgit kerosakan.

 

Baru-baru ini kenyataan pakar-pakar dari UPM dan CENT-GPS menegaskan betapa kritikal untuk negara melaksanakan pembangunan yang lebih mampan demi memastikan pemeliharaan alam sekitar dan menangani impak perubahan iklim.

 

Di peringkat sedunia, pembangunan mampan sudah menjadi agenda penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak Persidangan Berkenaan Persekitaran Manusia di Stockholm (1972), Deklarasi Rio (1992) dan kini diteruskan dalam gagasan Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang memerlukan sokongan setiap negara jika mahu bumi diselamatkan dari kerosakan sejagat seperti perubahan iklim.



Ini bukan kali pertama kita mendengar istilah ‘pembangunan mampan’ dilaungkan, tetapi adakah isu ini diambil serius?

 

Adakah pegawai kita di pentadbiran Persekutuan mahupun di peringkat Negeri benar-benar melaksanakan konsep pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar atau itu hanyalah setakat slogan kosong birokrasi?

 

Dalam nafas sama, kenapakah masih ada persoalan besar tentang tahap siap siaga dan respons kebangsaan terhadap sebarang bencana alam?



Di peringkat masyarakat pula, masih perlu diterapkan dengan lebih intensif sikap dan tabiat bertanggungjawab terhadap alam sekitar, bukan sekadar kempen di papan iklan.

 

Cukuplah sudah setiap tahun kita menghadapi insiden pencemaran kimia dan pembuangan sampah yang merosakkan sumber air dan sistem saliran kita. Di sini, yang patut kita salahkan adalah mentaliti mundur masyarakat kita sendiri.

 


 

surat



 

Segala perkara ini (malah lebih lagi) sepatutnya diberi tumpuan oleh rakyat dan kelompok ‘netizen’ yang aktif di media sosial jika kita mahu menyaksikan perubahan segera.

 

 

Namun, amat menyedihkan, kita perhatikan reaksi ‘netizen’ di media sosial bagaikan mengambil kesempatan atas musibah ini untuk membuat serangan-serangan politik, sindiran-sindiran murah dan bukannya cenderung ke arah memperbaiki keadaan. Malah, dikeruhkan lagi suasana yang sedia kelam.

 



Sememangnya, sebagai pengguna media sosial kita perlu awasi unsur-unsur yang sentiasa bersedia untuk menangguk di air yang keruh. Acapkali, bila berlaku musibah, maka berlakulah juga serangan bertubi-tubi  di Facebook, Twitter dan kumpulan-kumpulan Whatsapp sarat dengan ‘posting’ dan mesej-mesej yang berbaur politik menyelar tokoh-tokoh politik. Semua menjadi sasaran tidak kisah parti, blok Kerajaan mahupun Pembangkang.

 



Baru-baru ini, pelbagai tohmahan dilempar atas tokoh-tokoh Menteri dan ahli-ahli Parlimen yang turun melawat kawasan banjir. Malah, pek-pek bantuan yang diberi turut dipersoalkan dan dilemparkan syak wasangka dari segi keikhlasan bantuan. Bukankah perkara yang lebih penting adalah memastikan mangsa-mangsa banjir terus mendapat bantuan? Sepatutnya kita menggalakkan lebih ramai untuk tampil ke depan untuk membantu, ini bukannya masa untuk menyelar dan menyerang.

 

 


 

surat



 

 

Amat aneh sekali ‘netizen’ dengan girang dan rakus sekali menghentam menteri-menteri yang turun padang dan cuba mencari kesalahan mereka - apakah mesej yang cuba disampaikan? Apakah kita tidak mahu lagi melihat para menteri kita ziarah kawasan bencana dan cakna pada nasib rakyat?

 



Pada pendapat saya sebagai rakyat, media sosial di negara hari ini adalah satu jenis ‘bencana’ yang kadang-kala lebih menjijikkan dari segala air hanyir yang mengalir ke rumah-rumah mangsa banjir baru-baru ini. Jika musibah banjir mengorbankan nyawa dan harta, tetapi ‘musibah caci-cerca’ di media sosial pula meracun jiwa dan pemikiran kita.

 

 

Budaya ‘sharing’ dan ‘forward’ (berkongsi) mesej tanpa usul periksa hanyalah menggalakkan fitnah berleluasa malah mengaburkan kita dari perkara-perkara yang lebih utama untuk difikirkan.

 



 

surat

 


 

 

Ada dua jenis tragedi yang sebenarnya berlaku di negara kita sewaktu musim monsun Disember 2022. Yang pertama, adalah bencana fizikal yang dicetus oleh sikap tidak peduli kita selama ini terhadap isu pemeliharaan alam sekitar. Kedua, bencana fitnah di media sosial yang didorong unsur-unsur politik.

 



Di kala ini, rakyat seluruh negara patut berdiri bersama tanpa mengira kaum atau ras politik untuk menghadapi cabaran sedia ada. Maka, perlu diawasi unsur-unsur yang ingin mengeruhkan keadaan dan mengambil kesempatan politik. Sememangnya, fenomena banjir kali ini membawa banyak pengajaran, adalah penting kita segera bermuhasabah dan ambil iktibar darinya. - DagangNews.com

 

Ismael Yunus
Shah Alam