Pos Malaysia dijangka terus beroperasi dalam tekanan akibat kenaikan kos - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia dijangka terus beroperasi dalam tekanan akibat kenaikan kos - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kenanga Research menjangkakan Pos Malaysia Berhad akan terus beroperasi dalam suasana yang tertekan akibat kenaikan harga dan kos.

 

Firma itu berkata, ketidakupayaan mereka menutup beberapa pejabat pos di seluruh negara selain tekanan daripada kesatuan pekerja menyebabkan keuntungan dalam perniagaannya menjadi sangat terhad.

 

Bagaimanapun, jumlah penghantaran barangan terus mencatatkan peningkatan, didorong oleh kemajuan perkhidmatan perdagangan dalam talian, menyeimbangkan penurunan kehadiran pelanggan ke pejabat pos.

 

"Segmen logistik mencatatkan peningkatan didorong oleh perniagaan pengurusan kargo (terutamanya daripada penghantaran barang) dan perniagaan automotif (sebahagian besarnya daripada jumlah pengeluaran automotif tempatan dan permulaan gudang baharu).

 

"Sumbangan daripada bahagian penerbangan mula menunjukkan peningkatan terutama daripada segmen e-dagang, pengendalian muatan kargo dan perniagaan pengendalian darat dengan pengurusan kos yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, Pos Malaysia mencatatkan penurunan kerugian untuk suku pertama yang berakhir 31 Mac 2022 kepada RM30.37 juta berbanding RM46.78 juta pada suku sama tahun lalu akibat pengurusan kos yang cekap.

 

Pendapatan bagi 1QFY22 menurun 18.68% kepada RM484.35 juta berbanding RM595.28 juta bagi 1QFY21 akibat sumbangan yang rendah daripada segmen pos dan logistik.

 

Firma itu juga menyemak semula pendapatan FY22E kumpulan itu kepada kerugian teras RM50.9 juta daripada keuntungan teras RM56.3 juta.

 

Mereka turut menyemak turun pendapatan kumpulan bagi FY23E sebanyak 8% di atas permintaan yang tidak konsisten daripada segmen penghantaran barang semasa fasa peralihan endemik.

 

"Usaha pengurusan kos yang cekap berada di landasan yang tepat dan kami menjangkakan keuntungan mula terhasil pada FY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM0.72. - DagangNews.com