Skip to main content

Pos Malaysia lancar setem edisi khas Hari Pos Sedunia ke-52

KUALA LUMPUR 9 Okt  – Pos Malaysia meraikan Hari Pos Sedunia (WPD) ke-52 dengan memberikan penghormatan kepada sejarah dan peranan dalam mengeratkan hubungan sesama rakyat.

 

WPD disambut setiap tahun di seluruh dunia sejak tahun 1969, menandakan permulaan Kesatuan Pos Sedunia dan sumbangan besar penyedia perkhidmatan pos di seluruh dunia.

 

Setiap tahun pada 9 Oktober, Kesatuan Pos Sedunia (UPU) dan melalui WPD, menghayati kepentingan dan sumbangan perkhidmatan pos kepada masyarakat global serta menghormati sumbangan luar biasa kakitangan pos yang menghantar mel dan bungkusan di seluruh dunia.

 

Bagi mengabadikan detik bermakna ini, Pos Malaysia akan mengeluarkan koleksi setem edisi khas Hari Pos Sedunia bertemakan ‘Meraikan Legasi, Menghubungkan Masa Hadapan’.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, Pos Malaysia berbangga kerana telah menghubungkan rakyat Malaysia selama lebih dari 200 tahun.

 

‘’Dalam usaha mencapai kemajuan, pada masa yang sama kami juga tidak lupa meraikan sejarah gemilang sebagai organisasi tertua di negara ini dan memperingati peranan kami kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Koleksi setem ini boleh didapati di laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my mulai hari ini, 9 Oktober 2021 dan di pejabat pos terpilih di seluruh negara mulai hari Khamis, 11 Oktober 2021.

 

Tempoh 20 bulan kebelakangan ini amat sukar bagi banyak pihak dan ini termasuk barisan hadapan kami yang telah gigih bertugas demi negara dan memastikan rakyat Malaysia sentiasa terhubung.

 

‘’Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada lebih daripada 20,000 warga Pos Malaysia yang terus membentuk senyuman dalam setiap penghantaran,” kata Charles.

 

 

pos malaysia

 

 

Koleksi ini menawarkan setem ciri berbeza (setenant) dengan ilustrasi masa lalu dan masa kini Pos Malaysia.

 

Sebanyak 400,000 keping akan dikeluarkan untuk setiap rekaan, dengan nilai RM1.30 setiap satu.

 

Produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (First Day Cover - FDC) dan folder berharga 50 sen dan RM6 setiap satu. Para peminat setem boleh membeli keseluruhan set dengan harga yang berpatutan iaitu RM36.10.

 

Keluaran ini termasuk poskad yang memaparkan imej posmen dari era berbeza bernilai RM1 sekeping. Tanda pembatalan yang memaparkan gambar peti surat juga tersedia untuk koleksi pengumpul.

 

 

pos malaysia

 

 

Peminat setem dan orang ramai boleh mendaftar untuk Standing Order Deposit Account (SODA) untuk memudahkan pembelian setem terbitan terbaharu serta menikmati faedah eksklusif yang ditawarkan oleh SODA.

 

Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau dalam talian di www.posonline.com.my.

 

Untuk pertanyaan lanjut mengenai setem dan produk filateli lain, Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia boleh dihubungi di 03-2267 2267 (sambungan 2000) atau melalui e-mel di filateli@pos.com.my.

 

Pos Malaysia menjemput orang ramai untuk turut sama meraikan Hari Pos Sedunia dengan mengambil swafoto (dengan jarak fizikal) bersama posmen kejiranan atau petugas penghantaran Pos Laju dan mengucapkan Selamat Menyambut #WPD2021 #TerusBerhubung #KeepingYouConnected #pos4you #PosMalaysia #KeluargaMalaysia #StrongerTogether. – DagangNews.com