Positif dengan prospek Axis REIT, MIDF Research kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Positif dengan prospek Axis REIT, MIDF Research kekal saranan 'beli'

KUALA LUMPUR 21 Jan - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Axis Real Estate Investment Trust (REIT) dengan harga sasaran pada RM2.04 selepas menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dengan lebih tinggi. 

 

Menerusi laporan kewangan yang diumumkan semalam, pendapatan hartanah bersih Axis REIT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 meningkat 9.4% kepada RM208.29 juta berbanding RM190.35 juta bagi tempoh sama tahun lalu memandangkan jumlah pendapatan amanah meningkat 7.77% kepada RM242.41 juta daripada RM224.94 juta.

 

Memandangkan hasil yang diperoleh melebihi jangkaan, firma itu menyemak semula unjuran pendapatan dan hasil bagi FY22 masing-masing sebanyak 6.6% dan 56%. 

 

"Malah, kami juga kekal positif dengan prospek pendapatan bagi Axis REIT kerana portfolio asetnya terdiri daripada aset perindustrian yang mana penyewa masih beroperasi di tengah-tengah pandemik COVID-19," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Axis REIT merekodkan pendapatan yang lebih baik dalam FY21 berikutan 5 pengambilalihan baharu yang telah selesai, permulaan sewaan baharu di Axis Industrial Facility @ Rawang dan pulangan sewa yang positif bagi FY21.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, Axis REIT mencatatkan jumlah pendapatan amanah sebanyak RM62.9 juta, masing-masing dengan kenaikan tahun ke tahun pada 9.4% dan 13.3%, terutamanya disumbangkan oleh hartanah yang baru diambil alih dan pulangan sewa yang positif.

 

Dalam pada itu, MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan unjuran sementara menanti perkembang selanjutnya mengenai cadangan pembangunan Pusat Pengagihan Bukit Raja 2 (BRDC 2) iaitu hartanah sedia adanya di Kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan, Shah Alam dengan kos anggaran pembangunan kira-kira RM130 juta.

 

Axis REIT semalam berkata, cadangan itu merangkumi pembinaan gudang setingkat dan bangunan tambahan, menaik taraf blok pejabat tiga tingkat yang sedia ada dengan kawasan binaan kasar kira-kira 620,096 kaki persegi.

 

Pembangunan yang dicadangkan itu dijangka bermula pada suku keempat 2022 dan akan siap untuk diserahkan kepada Shopee Express Malaysia Sdn. Bhd. selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2023.

 

Setakat 11.03 pagi ini, harga saham Axis REIT menokok 3 sen atau 1.63% kepada RM1.87 dengan 250,300 saham diniagakan. - DagangNews.com