Skip to main content

Powerwell lantik Adam Yee selaku timbalan pengarah urusan baharu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pembekal penyelesaian pengagihan kuasa, Powerwell Holdings Berhad melantik Datuk Adam Yee Hee Hoon sebagai timbalan pengarah urusannya, berkuat kuasa serta-merta.

 

Pengarah Eksekutif Powerwell, Catherine Wong berkata, pihaknya berbesar hati dengan pelantikan itu dan percaya ia akan memberi kelebihan kelebihan kepada kumpulan itu.

 

"Kami percaya bahawa pelantikan itu tepat pada masanya dan penting untuk Powerwell kerana ekonomi Malaysia semakin pulih dan permintaan untuk penggunaan elektrik di Asia Tenggara diunjurkan meningkat tiga kali ganda menjelang 2050 menurut Pusat Tenaga ASEAN," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Catherine berkata, Hee Hoon bukan satu nama asing di dalam industri perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal Malaysia kerana beliau merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia yang pertama.

 

Menerusi kepemimpinannya, Siemens Digital Industries menerima anugerah "World’s Highest Turnover Increase in Co-Sales Countries in Training Business" dan  "Courage and Innovation in Developing Industry 4.0 ecosystem in Malaysia".

 

"Saya percaya dengan pengalaman yang dimilikinya dalam industri, Powerwell akan menjadi lebih maju," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, Hee Hoon memiliki 25 tahun pengalaman sebagai peneraju strategik dalam industri perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal.

 

Beliau merupakan ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pembangunan Majlis Perniagaan Malaysia-China.

 

Pada 2021, beliau menerima pengiktirafan 50 Teratas Anugerah Pencapaian Sepanjang dalam kategori Kecemerlangan Perniagaan oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik. - DagangNews.com