PPIM lancar kaji selidik pandangan rakyat terhadap isu semasa | DagangNews Skip to main content

PPIM lancar kaji selidik pandangan rakyat terhadap isu semasa

Datuk Nadzim Johan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mengadakan program kaji selidik keberkesanan agensi kerajaan bagi mendapatkan pandangan orang awam terhadap beberapa perkara atau isu semasa secara dalam talian.

 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang awam mengenai isu semasa yang menghantui pengguna.

 

"Sudah tiba masanya kita mendapatkan input daripada rakyat dan juga industri berkaitan keadaan yang kita hadapi hari ini, yang mana banyak perkara tidak menjadi. Banyak perkara dilaksanakan tidak mengikut petunjuk prestasi utama (KPI). 

 

"Kalau ikut KPI pun kalau tidak menjadi, mereka diam sahaja. Maknanya kita tengok akauntabiliti agensi atau kementerian macam tidak payah buat apa pun. Kalau orang tanya, kalau boleh jawab, jawab tapi kadang-kadang jawab pun tak betul.

 

"Baru-baru ini isu ayam, daging dan kes scam. Macam-macam keadaan yang kita tengok perlu mendapat maklumat melalui survey dalam talian. Jadi, kita akan buat survey ini untuk tahu kepuasan hati dan komen rakyat yang dibawa ke hadapan biar menteri tengok dan buat sesuatu," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

 

Nadzim berkata, beliau berharap kaji selidik tersebut akan dijadikan sebagai bahan rujukan pada masa hadapan.

 

"InsyaAllah, dengan responden yang kita dapat, ia boleh mengubah keadaan kita. Kita perlu dedahkan bukan untuk tujuan negatif tetapi positif, kita buat sesuatu perubahan demi masyarakat kita," katanya.

 

Dalam pada itu, kaji selidik itu turut dijalankan susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung larangan merokok dan vape untuk generasi akan datang serta menghalang penjualan produk tersebut kepada individu yang lahir selepas 2005.

 

Kaji selidik tersebut juga bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai tabiat-tabiat negatif lain yang patut dikenakan larangan sama.

 

Tinjauan tersebut akan dijalankan menerusi portal www.ppimonlinepoll.com yang bakal dibuka untuk orang ramai dalam masa terdekat. - DagangNews.com