PPV Movenpick KLIA mampu beri vaksin sehingga 5,000 dos sehari | DagangNews Skip to main content

PPV Movenpick KLIA mampu beri vaksin sehingga 5,000 dos sehari

SEPANG 6 Julai - Pusat pemberian vaksin (PPV) mega Movenpick KLIA, yang mula beroperasi hari ini mempunyai kemampuan untuk memberi vaksin COVID-19 sehingga 5,120 dos sehari kepada penduduk terutama dari daerah Sepang, kata Pengurus PPV Mega Movenpick KLIA Dr Noraziah Abdul Karim.

 

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata PPV mega itu beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 9 malam dan dijangka dibuka sehingga hujung tahun.

 

Dr Noraziah berkata PPV mega itu merupakan kolaborasi antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pihak swasta iaitu MB Perkasa Sdn Bhd dan Golden Horses Health Sanctuary Chinese Medical Centre.


"Kami menyediakan dua dewan di sini untuk mempercepatkan proses vaksinasi," katanya dan menambah bahawa PPV mega menyediakan laluan pantas untuk penerima vaksin yang berkerusi roda dan untuk golongan orang kurang upaya.

 

Pengurus Besar Movenpick Hotel Convention Centre, Wan Enderi Mohd Saad berkata, sebelum pandemik COVID-19 melanda, tempat itu dipenuhi dengan jemaah haji pada setiap tahun dan kini bakal dipenuhi dengan penerima vaksin setelah dijadikan PPV mega. 

 

"Kami bangga dapat terlibat dalam program ini kerana ini merupakan usaha besar untuk memulihkan negara dan mempercepatkan Malaysia mencapai imuniti kelompok.

 

"Saya berharap kita dapat segera kembali ke zaman sebelum COVID-19 apabila  industri hotel dan pelancongan dapat kembali aktif serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta," katanya.

 

Baca : Movenpick mulakan operasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin 5 Julai

 

Seorang penerima vaksin yang ditemui, Foong Kok Chuan, 55, berkata beliau gembira mendapat vaksin hari ini kerana akan boleh melawat saudara-mara kelak setelah lengkap menerima dua dos nanti.

 

 

movepnpick

 

 

"Layanan di sini sangat bagus, proses sangat cepat dan tempat ini selesa. Sukarelawan yang ada di sini pun banyak membantu saya," kata juruteknik di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi, P. Sivaguganesan, 55, yang memuji perjalanan di PPV mega itu. - DagangNews.com