Presiden Kumpulan Sunway dianugerah gelaran Tan Sri | DagangNews Skip to main content

Presiden Kumpulan Sunway dianugerah gelaran Tan Sri

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos –  Presiden Kumpulan Sunway, Chew Chee Kin menerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri.

Gelaran berkenaan dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penganugerahan berkenaan berlangsung semalam di Istana Negara.

Chee Kin merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 1974.

Pada 1980, beliau turut mengikuti Program Pembangunan Pengurusan di Harvard Business School.

Setahun selepas itu, beliau menyertai kumpulan Sunway dan dipilih sebagai Presiden kumpulan syarikat sejak 1999.

Bersama-sama Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah, Chee Kin membawa pertumbuhan Sunway sehingga menjadi salah satu konglomerat terbesar di Malaysia dengan 13 cabang perniagaan dan modal pasaran hampir RM 17 bilion pada akhir tahun 2019.

Sunway Group kini berada di 50 lokasi di seluruh dunia.

Sunway menerusi kenyataannya berkata, pada 2011, Chee Kin telah mengetuai penggabungan antara Sunway City Berhad dan Sunway Holding Berhad.

“Sejak itu, Sunway merekodkan hasil dua kali ganda setakat 2019. Pada tahun sama juga, beliau menerima Ijazah Doktor Undang-Undang Honoris Causa dari Monash University.

 

Chew Chee Kin
Chew Chee Kin

 

“Chee Kin ketika ini memacu agenda transformasi digital Sunway, memperkasa usaha pembangunan negara oleh syarikat bagi menginovasi penyelesaian untuk kemampanan seiring Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” jelas Kumpulan Sunway.

Dalam pada itu, beliau juga melaksanakan misi Sunway untuk mengubah bandar perdana Sunway City, Kuala Lumpur menjadi model bandar pintar dan lestari pada abad ke-21 sebagai "makmal hidup" untuk kehidupan bandar yang lestari pada masa depan.

“Sebagai penyokong pendidikan berkualiti, Chee Kin berperanan penting dalam perkembangan Sunway University dan Monash University Malaysia serta penubuhan Yayasan Jeffrey Cheah, sebuah syarikat sosial yang berfokus terhadap pendidikan terbesar di Malaysia.

“Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Monash University Malaysia telah menjalinkan hubungan dua hala yang kuat antara Kumpulan Pendidikan Sunway Education dan Monash University,” tambah Sunway.

Beliau bersungguh-sungguh untuk meyakinkan pembukaan kampus asing pertama Monash University di Malaysia yang secara kebetulan merupakan kampus pertama di Malaysia yang ditubuhkan oleh universiti asing dengan kedudukan tinggi. – DagangNews.com