Prestasi Gas Malaysia dijangka terus cemerlang walaupun berdepan pelbagai gangguan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prestasi Gas Malaysia dijangka terus cemerlang walaupun berdepan pelbagai gangguan - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - MIDF Research menjangkakan Gas Malaysia Berhad akan meneruskan prestasi cemerlang dan kekal berdaya tahan walaupun terdapat ketidaktentuan daripada harga hidrokarbon akibat beberapa faktor termasuk gangguan bekalan mentah di peringkat global.

 

Firma itu berkata, kadar pertukaran wang asing dan peningkatan kadar faedah oleh bank serta krisis berterusan yang melanda Rusia-Ukraine juga tidak akan menjejaskan prestasi kumpulan itu.

 

Katanya, kumpulan itu juga akan terus beroperasi secara cekap dan kekal berdaya saing terutama dalam mengembangkan perniagaan mereka dalam masa terdekat.

 

"Gas Malaysia dijangka terus mencatatkan tahun kewangan yang lebih baik pada masa akan datang terutama dengan kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara yang akan menyokong pemulihan serta pertumbuhan ekonomi selain memperbaiki pasaran tenaga kerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan 64.5% untung bersih bagi 1QFY22 kepada RM91.32 juta berbanding RM55.63 juta bagi tempoh sama tahun lalu disokong oleh untung kasar lebih tinggi, kos pengurusan yang lebih rendah dan peningkatan sumbangan daripada kerjasama kumpulan.

 

Firma itu itu menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan itu untuk FY22 dan FY23 sebanyak +3% serta +13% dan mereka dijangka memanfaatkan harga komoditi yang tinggi untuk jangka panjang. 

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gas Malaysia dengan harga sasaran (TP) RM3.46 selepas peperangan di Eropah menyebabkan lonjakan harga gas dunia pada suku pertama 2022.

 

"Kami juga mengekalkan pandangan bahawa harga hidrokarbon kekal tinggi akibat berlaku ketidaktentuan peperangan di Ukraine dan penurunan bekalan gas asli," katanya.

 

"Harga komoditi yang tinggi juga akan terus menyumbang kepada pendapatan Gas Malaysia pada FY22," katanya. - DagangNews.com