Prestasi kewangan VS Industry di bawah jangkaan, AmInvestment nilai FV lebih rendah  | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan VS Industry di bawah jangkaan, AmInvestment nilai FV lebih rendah 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - AmInvestment Bank Research mengulangi saranan 'beli' terhadap VS Industry Bhd. tetapi nilai wajar (FV) disemak lebih rendah kepada RM1.61 daripada RM1.98 sebelum ini. 

 

Firma itu telah pun mengurangkan unjuran pertumbuhan hasil dan merendahkan anggaran pendapatan teras sebanyak 29% bagi tahun kewangan 2022 (FY22) diikuti 20% (FY23) dan 23% (FY24).

 

Ini disebabkan ketidaktentuan yang timbul daripada gangguan rantaian bekalan secara berterusan dan beberapa pelarasan. 

 

"Pendapatan teras suku pertama VS Industry adalah di bawah jangkaan, menyumbang 10% daripada keuntungan bersih FY22 kami dan 11% daripada konsensus," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih VS Industry susut 40.93% kepada RM39.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2021 berbanding RM66.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan juga susut 1.9% kepada RM968 juta daripada RM987.1 juta.

 

Penurunan pendapatan itu disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada operasi di Malaysia dengan tempahan berkurangan bagi pemasangan papan litar bercetak (PCBA) pada suku pertama dan gangguan dalam bekalan komponen. 

 

Bagi suku berkenaan, untung bersih kumpulan terjejas disebabkan pelbagai faktor yang mempengaruhi operasinya di Malaysia, antaranya, peningkatan kos buruh dan bahan mentah serta susut nilai lebih tinggi daripada kemudahan baharu.

 

AmInvestment berkata, kumpulan bagaimanapun menyedari cabaran dalam industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang disebabkan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan geopolitik. 

 

"Gangguan dalam rantaian bekalan global telah menyebabkan tempoh pelopor yang lebih lama dan kekurangan komponen pula meningkatkan kos bahan mentah," tambahnya. 

 

Namun, firma tersebut kekal positif terhadap prospek jangka panjang VS Industry terutamanya disokong keupayaannya untuk menawarkan penyelesaian EMS kepada pemain bersepadu dan usaha mempelbagaikan pangkalan pelanggan dengan peluang yang timbul daripada perang dagangan Amerika Syarikat-China.

 

"Selain itu, operasi luar negaranya juga semakin bertambah baik didorong tempahan jualan lebih tinggi daripada segmen di Indonesia dan inisiatif rasionalisasi peningkatan kos di China," katanya. 

 

Setakat 12.16 tengah hari ini, saham VS Industry menokok 1 sen atau 0.77% kepada RM1.31 dengan 15.8 juta saham diniagakan. - DagangNews.com