Skip to main content

Prestasi melebihi jangkaan, MIDF, HLIB Research kekal saranan 'Beli' saham TNB

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Keputusan kewangan suku ketiga Tenaga Nasional Bhd (TNB) 85.8% melebihi jangkaan Hong Leong Investment Berhad (HLIB) dan 88.5% konsensus.

 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, HLIB Research berpendapat, pihaknya menjangkakan pertumbuhan permintaan tenaga kekal sihat tahun ini dengan jangkaan kenaikan 2.9% tahun ke tahun seiring dengan pemulihan aktiviti ekonomi Malaysia yang kini beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) 

 

"Selain itu TNB akan memanfaatkan pertumbuhan pasaran kenderaan elektrik (EV) dengan menjangkakan 500,000 EV dengan 18,000 port pengecasan menjelang 2030.

 

"Kami meningkatkan unjuran pertumbuhan TNB untuk tahun kewangan 2021 hingga 2023 masing-masing sebanyak 5.6%, 4.4% dan 2.5%," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Sementara itu MIDF Research berkata, walaupun terdapat peningkatan dalam kos bahan api disebabkan kenaikan harga tenaga global, khususnya arang batu yang menyumbang 61% daripada campuran penjanaan, pendapatan TNB dijangka harus kekal utuh di bawah rangka kerja mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

 

"Kami mengekalkan panggilan 'Beli' saham TNB dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM11.80/saham," katanya.

 

TNB merekodkan pendapatan berjumlah RM12.98 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, meningkat 16.83% daripada RM11.11 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Menurut TNB, pergerakan pendapatan ini adalah hasil daripada kedudukan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) di bawah pemulihan sebanyak RM1.31 bilion berbanding kedudukan pemulihan yang berlebihan berjumlah RM956.8 juta.

 

Perbelanjaan operasi turut meningkat daripada RM9.55 bilion kepada RM10.82 bilion disebabkan kos penjanaan yang tinggi, menyebabkan peningkatan keuntungan operasi sebanyak RM201.1 juta atau 10.8%. 

 

Keuntungan selepas cukai bagi tempoh suku dikaji juga meningkat 4.7% kepada RM1.049 bilion berbanding RM1.002 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. -DagangNews.com