PRG harap sektor hartanah, amalan ESG global untuk pulihkan prestasi kewangan | DagangNews Skip to main content

PRG harap sektor hartanah, amalan ESG global untuk pulihkan prestasi kewangan

KUALA LUMPUR 20 Jan - PRG Holdings Berhad (PRG) berharap sektor hartanah akan pulih selain bergantung kepada dorongan global untuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam menjana prestasi pemulihan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang terlibat dalam perniagaan pembangunan hartanah, pembinaan, pembuatan dan pertanian itu mempamerkan kemajuan yang memberangsangkan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dengan pendapatan dan keuntungan selepas cukai terkumpul sembilan bulan pada masa ini masing-masing berjumlah RM129.9 juta dan RM12 juta.

 

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, sebagai perbandingan, kumpulan telah mencatatkan kerugian berturut-turut dalam tempoh tiga tahun kewangan yang lalu.

 

Segmen pembuatan PRG, Furniweb Holdings Ltd yang tersenarai di Papan GEM Bursa Saham Hong Kong berjaya memberikan pulangan positif sejak 2020, namun terpaksa menampung kerugian rosot nilai yang berlaku ke atas item muhibah (goodwill) dan aset.

 

Sejak itu juga, ia melaksanakan penstrukturan semula, melepaskan dua syarikat yang merugikan dan telah mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk pelbagai produk hasil daripada pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19.

 

Pada masa ini, kumpulan mengeluarkan produknya daripada dua kilang yang terletak di Vietnam dan tiga terletak di Malaysia, serta mengeksportnya ke lebih 30 negara di seluruh dunia.

 

prg
Datuk Lua Choon Hann

 

Naib Pengerusi Kumpulan PRG, Datuk Lua Choon Hann berkata, pihaknya melihat pemulihan kukuh dalam pesanan produk dengan pelanggan terdesak untuk menambah bekalan.

 

"Sejak tahun 2020, kami telah menaik taraf dan menggantikan jentera untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran. 

 

"Kami juga sedang meneroka produk baharu dan aplikasi baharu produk untuk mengembangkan rangkaian tawaran kami ke pasaran.

 

"Walaupun prospek global kekal agak suram akibat pandemik, kumpulan akan terus memanfaatkan kekuatannya dalam perniagaan sedia ada dan baharu untuk menjana nilai yang mampan kepada pelanggan serta pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada 2 November 2021, PRG mengumumkan bahawa ia telah memeterai Perjanjian Jual Beli untuk memperoleh 37.25% pegangan dalam Energy Solution Global Ltd (ESGL) melalui anak syarikat 54.19% miliknya, Furniweb Holdings Ltd.

 

Choon Hann berkata, syarikat Measurement & Verification Pte Ltd., sebuah Syarikat Perkhidmatan Tenaga (ESCO) yang diiktiraf oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura berjaya meningkatkan tempahan kira-kira SG$40 juta (RM167.52 juta).

 

Ini termasuk kejayaan mendapat kontrak daripada projek pusat data seperti AirTrunk, ST Telemedia dan kontrak daripada syarikat besar di Singapura seperti Lapangan Terbang Changi dan SSMC.

 

"Dunia hari ini mahukan kecekapan dengan sumber dan proses tenaga, dan dalam paradigma perniagaan, terdapat kes yang lebih kukuh untuk menterjemahkan kecekapan dalam memenuhi keuntungan dan sasaran pematuhan yang semakin meningkat.

 

"Kami percaya bahawa terdapat lebih banyak ruang dan peluang untuk ESGL berkembang di peringkat serantau, dan kumpulan PRG akan menyediakan platform untuk ESGL berkembang di Malaysia, Vietnam, Hong Kong dan Greater China. Bahagian baharu ini akan menjadi pemacu pertumbuhan kami pada masa hadapan," katanya.

 

PRG juga terbabit dalam pembangunan hartanah, dan Kumpulan mengumumkan pada 13 September 2021 bahawa projek mampu milik pertamanya Embayu @ Damansara West telah mencapai kadar penggunaan sebanyak 80% untuk Menara A dan B.

 

Menara C yang dilancarkan pada November 2021 terdiri daripada Jenis C (900 kaki persegi) dan Jenis D (1000 kaki persegi) dengan harga jualan masing-masing antara RM350,000 hingga RM400,000. Sehingga hari ini, Menara C telah ditempah sepenuhnya. - DagangNews.com