Prihatin masalah rakyat, warga TNB kumpul hampir RM1.28 juta Skip to main content

Prihatin masalah rakyat, warga TNB kumpul hampir RM1.28 juta

 

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumpulkan hampir RM1.28 juta dalam tempoh 8 hari demi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di seluruh Semenanjung, khususnya golongan B40.

 

Sejak dilancarkan pada 9 Jun lalu, lebih 11,000 daripada warga kerja TNB bersetuju membuat sumbangan melalui potongan gaji kepada Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) itu, yang akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dalam tempoh terdekat ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pengurusan Tertinggi TNB dan Presiden Kesatuan/Yang Di Pertua Persatuan dalaman TNB bersepakat menubuhkan tabung berkenaan sebagai satu kaedah bagi warga kerja TNB bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.

 

“Alhamdulillah, dalam tempoh lebih seminggu kempen tabung ini bermula, warga kerja TNB telah menghulurkan sumbangan melalui penolakan gaji bulanan pada bulan Jun dan Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Baharin Din
Baharin Din

 

 

Beliau yakin jumlah kutipan akan terus meningkat sehingga kempen menderma ini tamat pada 15 Julai nanti.

 

Baharin juga memaklumkan bahawa bagi setiap ringgit yang didermakan warga kerja TNB kepada tabung berkenaan, syarikat utiliti itu akan menambah jumlah yang sama supaya lebih ramai orang mendapat manfaatnya.

 

“Saya sendiri dibesarkan dalam masyarakat bandar yang mencabar, justeru, amat memahami kesusahan masyarakat yang terjejas pendapatan dan mungkin juga kehilangan pekerjaan berikutan kegawatan ekonomi ketika ini. 

 

"Kesedaran ini juga saya percaya dikongsi rakan-rakan saya yang lain di TNB,” katanya.

 

Pengagihan Tabung WTP ini akan diberikan dalam bentuk wang tunai secara atas talian dan fizikal kepada para penerima individu yang dikenalpasti, tertakluk kepada SOP MKN. 

 

Para penerima dikenalpasti berdasarkan senarai golongan B40 melibatkan Orang Kurang Upaya, e-Kasih, JKM dan PPRT (di bawah Kementerian Pembangunan Wanita & Masyarakat), Pusat Zakat Negeri dan maklum balas warga kerja TNB.

 

Selain Tabung Warga TNB Prihatin (WTP), sejak awal tahun ini, TNB telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku. - DagangNews.com