Principal Asset Management perkenal dana pelaburan dalam bidang bioteknologi farmaseutikal | DagangNews Skip to main content

Principal Asset Management perkenal dana pelaburan dalam bidang bioteknologi farmaseutikal

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept – Principal Asset Management (Principal) mengumumkan dana baharu Dana Principal Biotechnology Discovery, yang menumpukan kepada pelaburan dalam sekuriti berkaitan bioteknologi dari bidang farmaseutikal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management, Munirah Khairuddin berkata, dana tersebut mempunyai pendedahan dalam semua bentuk pasaran sekuriti pelbagai saiz dalam bidang bioteknologi.

 

 

“Pandemik COVID-19 telah memperkuatkan daya tahan kebanyakan industri, terutamanya dalam perubatan. Kita telah menyaksikan kejayaan dalam penghasilan vaksin dan kini menuju ke arah pemulihan dari sudut kesihatan awam dan ekonomi. Melalui Dana ini, pelanggan berpotensi untuk meraih keuntungan dan berpeluang untuk mengikuti perkembangan dalam bidang inovasi dan sektor bioteknologi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.\

 

Tambahnya, melalui Dana Principal Biotechnology Discovery, pelabur yang mahukan peningkatan modal jangka masa panjang mampu memperoleh keuntungan sejajar dengan kemajuan seperti penemuan ubat-ubatan baharu dan juga teknologi yang menawarkan asas yang menarik.

 

Katanya, dana berkenaan juga mempunyai pendedahan dalam pelaburan dalam firma bioteknologi yang berpusat di Amerika Syarikat.

 

“Dana ini turut dikukuhkan dengan kajian berterusan dan perbelanjaan pembangunan, serta mendapat manfaat hasil daripada permintaan kesihatan awam yang semakin meningkat, seiring dengan  peningkatan usia penduduk di seluruh dunia,” ujarnya.

 

Dihasilkan sebagai dana perantara, Dana Principal Biotechnology Discovery dilaburkan dalam satu skim pelaburan kolektif, yang dikenali sebagai Franklin Biotechnology Discovery Fund yang merupakan antara  portfolio di bawah Franklin Templeton Investment Funds (FTIF).

 

“Hampir 95% daripada nilai aset bersih dana ini dilaburkan dalam Dana Sasaran dan sehingga 5% dari nilai aset bersih dana ini dilaburkan dalam aset cair untuk tujuan pertukaran yang mudah kepada wang.

 

“Dana ini mempunyai struktur kelas-pelbagai dengan empat kelas saham; Kelas AU$-Hedged, Kelas RM-Hedged, Kelas S$-Hedged dan Kelas AS$ dengan harga tawaran awal AU$1,000, RM1,000, S$1,000 dan AS$1,000. -DagangNews.com