Prinsip Islam dan Kontroversi Jenama Arak
PENGELUARAN arak berjenama tempatan telah mengejutkan dan membimbangkan seluruh masyarakat Islam di Malaysia yang telah dikeluarkan dan dilancarkan pada 7 Oktober 2021 oleh syarikat Winepak Corporation.
Pihak pengeluar telah membuat kenyataan pada 15 Oktober 2021 untuk menafikan segala dakwaan dan pentafsiran salah dengan menjelaskan bahawa nama ‘Timah’ adalah merujuk kepada bijih timah, komoditi utama negara di era pentadbiran British di Tanah Melayu.
Gambar lelaki pula adalah Kapten Speedy sebagai pegawai British yang pernah berkhidmat ketika itu dan telah memperkenalkan budaya minuman tersebut.
Kontroversi timbul seolah-olah satu perlakuan tidak bermoral dan tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam kerana arak tersebut berjenama ‘Timah’ yang sinonim dengan nama masyarakat Melayu dan menggunakan label seorang lelaki yang berjanggut serta memakai penutup kepala persis gambaran Muslim.
Selain itu, kekeliruan juga boleh timbul seolah-olah bahawa produk ini adalah keluaran Melayu Muslim.
Perkara tersebut telah menimbulkan persepsi seolah-olah ada agenda tersirat seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu secara halus dan berstrategi.
Islam mempunyai prinsip dan justifikasi yang jelas dalam soal pengharaman dan penolakan arak supaya seluruh masyarakat prihatin dan mengambil berat dalam kehidupan.
Pertama, arak dan segala minuman yang memabukkan adalah najis dan hukumnya adalah haram. Kaedah fiqh telah menjelaskan bahawa “Setiap minuman yang memabukkan adalah haram”.
Seterusnya, firman Allah SWT menegaskan yang bermaksud “Wahai orang yang beriman! Ketahuilah sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah ialah perbuatan yang keji daripada amalan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (Surah al-Ma’idah: 90).
Berdasarkan ayat tersebut, terdapat perkataan ‘rijsun’ yang bermaksud ‘najis dan kotor’ dinisbahkan pada arak. Selain itu, Allah SWT juga mencela terhadap semua perkara buruk yang disenaraikan dalam ayat tersebut dengan menegaskan bahawa ia termasuk dalam amalan syaitan dan merupakan perbuatan yang keji.
Seterusnya, terdapat penggunaan lafaz ‘al-ijtinab’ yang bermaksud ‘menjauhi arak’ menggambarkan bahawa tegahan dan pengharaman adalah lebih kuat dan menyeluruh iaitu bukan sekadar tegahan minum tetapi termasuk tegahan yang berkaitan dengannya seperti mempromosi, menjual, membeli arak dan sebagainya.
Kedua, larangan menyeluruh terhadap segala aktiviti yang berhubung dan berkaitan arak. Semua aspek penglibatan yang mempunyai perkaitan dengan arak tanpa terkecuali turut diharamkan oleh Islam.
Nabi SAW telah menegaskan dalam hadis yang bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya” (Riwayat al-Tirmizi: no.1295).
Ketiga, menutup ruang yang boleh membawa kepada kerosakan dan keburukan (Sadd al-Zarai‘) dalam masyarakat. Seterusnya terdapat kaedah fiqh yang menyatakan: “Kemudaratan itu hendaklah dicegah semampu yang mungkin”.
Kekeliruan pasti timbul sekiranya isu ini diberi ruang dan dibiarkan begitu sahaja tanpa sekatan dengan gambaran seolah-olah budaya arak merupakan budaya masyarakat Melayu Islam atau budaya yang dekat dan diterima dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.
Demikianlah, Islam mengharamkan arak dan bahan seumpamanya kerana memabukkan, sehingga menghilangkan dan merosakkan akal manusia.
Selain itu, ia menjadi penyebab kepada pelbagai penyakit lain yang membahayakan jasad, meruntuhkan akhlak, sehingga merosakkan keluarga dan masyarakat, serta memesongkan hikmah manusia itu diciptakan.
Keempat, peranan pihak pemerintah dalam memastikan kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat. Kaedah fiqh ada menjelaskan: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahat rakyat”.
Pengharaman arak dalam kalangan masyarakat Islam adalah satu prinsip yang jelas dan segala perkara berkaitan dengan arak adalah wajib dicegah dan dihindari.
Lantaran itu, tindakan tegas dan langkah proaktif dari pihak kerajaan atau pemerintah sangat diperlukan dalam menyelesaikan masalah yang timbul berkaitan arak bagi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin dan kemudaratan ke atas rakyat dihindari.
Adapun dalam masyarakat majmuk yang wujud pelbagai penganut agama, maka pihak berkuasa dalam negara Islam tidak boleh menghalang penggunaan dan perniagaannya dalam kalangan bukan Islam kerana diizin dan dibolehkan oleh agamanya berkonsepkan kebebasan beragama.
Namun pihak syarikat pengeluar perlu menyedari dan cakna bahawa penggunaan nama ‘Timah’ sebagai jenama arak adalah tidak wajar dan boleh mencabar sensitiviti masyarakat Islam kerana boleh menimbulkan pelbagai konotasi yang negatif dan mengelirukan, khususnya dalam konteks Malaysia yang majoriti penduduk adalah beragama Islam.
Sewajarnya, isu ini diberi perhatian yang serius dan diselesaikan dengan bijaksana oleh pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua pihak kerana telah melibatkan sensitiviti masyarakat Islam, keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. - DagangNews.com
DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.