Produk baharu dan penyelesaian digital lonjak hasil Q3 Digi kepada RM1,579 juta | DagangNews Skip to main content

Produk baharu dan penyelesaian digital lonjak hasil Q3 Digi kepada RM1,579 juta


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Pelancaran produk inovatif yang meluas dan penyelesaian digital mengikut keperluan pengguna menyumbang 8.7% pertumbuhan suku ketiga 2020 (3Q20) Digi kepada RM1,579 juta berbanding bulan lalu dan melonjak 1% berbanding 3Q19.

Pada suku berkenaan, Digi melabur sebanyak RM134 juta perbelanjaan modal bagi menambah baik rangkaian untuk menyelenggara kualiti dan kesediaan perkhidmatan di seluruh negara. 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020, sebanyak 44% pencawang ditambah baik atau dibangunkan berbanding tahun lalu. 

Rangkaian 4G LTE dan LTE-A kini masing-masing meliputi 91% dan 74% penduduk dengan rangkaian gentian meluas hingga 9,85 kilometer.  

Penambahbaikan itu penting bagi menyokong 26.1% peningkatan tahunan jumlah trafik data dan 17.4GB penggunaan data bulanan bagi setiap pengguna berbanding 12.9GB pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty percaya syarikatnya melalui tempoh sukar dengan baik untuk mencatatkan prestasi memberangsangkan pada suku berkenaan didorong ketahanan untuk menambah baik peluang perniagaan.

 

Albern Murty
Albern Murty

 

“Pada suku ini, kami memperluas rangkaian inovasi dan tawaran nilai ke seluruh portfolio produk utama dengan melancarkan gentian jalur lebar di seluruh negara untuk menyediakan sambungan internet ke lebih banyak rumah dan menambah baik keupayaan rangkaian serta edaran. 

“Pada masa akan datang, kami kekal fokus terhadap ketahanan kewangan dengan mengutamakan pelaburan dalam kawasan strategik untuk meningkatkan kemampuan pengguna selain memacu pertumbuhan perniagaan,” kata Murty dalam sebuah kenyataan di pengumuman syarikat Bursa Malaysia. 

Dalam pada itu, hasil perkhidmatan Digi meningkat 4.3% berbanding suku sebelumnya kepada RM1,374 juta didorong 5.4% peningkatan hasil internet dan digital. 

Namun, bagi perbandingan tahun ke tahun, hasil perkhidmatan Digi merosot 2.8% daripada RM1,414 juta. 

Lonjakan hasil dalam segmen prabayar bagaimanapun mengurangkan impak penurunan tersebut, meruncingkannya kepada 2.8% walaupun kadar keterhubungan dikawal selia lebih rendah, perantauan dan perbelanjaan pengguna lemah ketika COVID-19.

Sementara itu, keuntungan selepas cukai Digi pada suku berkenaan meningkat 11.5% kepada RM321 juta, bagaimanapun merosot 9.8% berbanding tempoh sama pada tahun lalu. - DagangNews.com