Skip to main content

Produk bakeri LaBoheme Aeon Big terima sijil halal

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - Aeon Big (Malaysia) Sdn. Bhd. (Aeon Big) memberikan keselesaan pengunjung khasnya yang beragama Islam apabila produk bakeri LaBoheme di pasar raya besar tersebut menerima sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

 

Penyerahan sijil halal telah dilakukan Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Bukhari Md Akhir kepada Pengarah Urusan Aeon Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed pada majlis yang diadakan di Aeon Big Wangsa Maju di sini, yang turut dihadiri Pengarah Aeon Big, Datuk Iskandar Sarudin dan Pengerusi Jawatankuasa Dalaman Halal Aeon BiG, Dr Kasuma Satria Mat Jadi.

 

Menurut Sheikh Farouk, pihaknya bersyukur kerana usaha mereka untuk mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jakim dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

 

"Terima kasih juga kami ucapkan kepada pihak Jakim atas kerjasama yang diberikan selama ini. Usaha ini juga tidak akan berhasil tanpa kerjasama dan bantuan yang diberikan semua warga kerja terlibat.

 

“Kami amat menitik beratkan kebersihan dan mutu produk makanan yang dijual di pasar raya besar kami. Ia termasuk juga mendapatkan pengiktirafan halal Jakim yang mana pelanggan kami yang beragama Islam khasnya tidak akan merasa was-was," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, bagi mendapatkan sijil pengiktirafan ini secara rasmi, setiap perincian harus ditelliti untuk memastikan setiap produk yang dihasilkan menggunakan bahan mentah yang halal, berkualiti dan selamat.

 

La Boheme merupakan produk bakeri Aeon yang boleh didapati di Aeon Big dan juga di pasar raya Aeon yang lain. Ia menawarkan pelbagai produk bakeri segar yang dibuat setiap hari termasuk pastri dan puding. 

 

 

aeon
(Dari kiri) Bukhari Md Akhir, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed dan Dr. Kasuma Satria Mat Jadi pada majlis penyerahan sijil halal di Aeon Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

 

 

Pelbagai inovasi juga dilakukan terhadap produk-produk yang dijual bagi memberi variasi kepada pelanggan. 

 

Terdahulu, majlis tersebut turut menyediakan pameran dan jualan serta acara perkongsian maklumat berkenaan pensijilan halal Jakim.

 

Selain pengiktirafan yang diterima itu, Aeon Big juga sentiasa memacu perniagaannya dengan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk halal mereka melalui 21 cawangannya di seluruh negara. 

 

 

aeon

 

 

Bagi memperkasakan lagi usaha memasarkan barangan halal serta memberi tambah nilai kepada pelanggannya, Aeon Big juga terlibat dalam pelbagai program bersama pihak kementerian. 

 

Antaranya menerusi kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam memperkenalkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). - DagangNews.com