Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia medan usahawan IKS perkasa perniagaan | DagangNews Skip to main content

Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia medan usahawan IKS perkasa perniagaan

KUALA LUMPUR 5 Mac - Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Johor menjadi medan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri itu dalam usaha memperkasakan perniagaan mereka.

 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Zamri Salleh, program berkenaan merupakan antara usaha kerajaan membantu usahawan usahawan kecil dan mikro, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 untuk bangkit semula.

 

“Jadi kami amat berharap orang ramai bantu beli produk usahawan tempatan," katanya kepada Bernama.

 

Ketua Penolong Setiausaha MEDAC, Khairun Nahari Mohd. Radzi berkata, sebanyak 113 usahawan IKS daripada 11 agensi di bawah kementerian itu, terlibat dalam program berkenaan  kali ini, meliputi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, fesyen, pertanian, kecantikan dan spa serta produk kraf.

 

“Kita juga memberi peluang kepada pengusaha untuk membuat padanan perniagaan, kalau ada usahawan berminat kita boleh menemukan usahawan untuk meneroka strategi pemasaran,” katanya.

 

Berlangsung di Dataran Angsana Johor Bahru, program selama tiga hari sehingga 5 Mac itu bermula dari 9 pagi sehingga 8 malam, merupakan kesinambungan kepada kejayaan Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lepas.

 

iks

 

Selain gerai usahawan IKS, antara program dan aktiviti disediakan adalah Jualan Keluarga Malaysia, sukan rakyat, E-Sport, program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, gerai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta gerai Citarasa Keluarga Malaysia, yang menyajikan pelbagai menu tradisi Johor.

 

pkn

 

Pengusaha kuih bangkit Samsuri Misbah dari Kampung Sungai Bagan, Rengit, Batu Pahat berkata setakat ini jualan beliau amat memberangsangkan, dan menjangkakan lebih ramai lagi pengunjung akan membeli produknya.

 

“Kalau dulu waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bisnes saya tidak berapa baik, sebab pelanggan pun kurang, tapi kali ini Alhamdulillah semakin baik lebih-lebih dengan adanya peluang untuk berniaga seperti ini,” katanya. - DagangNews.com