Skip to main content

Program Jualan Keluarga Malaysia di Jelajah AKM Sarawak jadi tumpuan hari pertama 

Orang ramai beratur untuk membeli minyak masak di gerai Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Jelajah AKM Sarawak di Kuching pada 5 Ogos 2022. - Gambar DagangNews.com
Oleh KERNI PUAH

KUCHING 5 Ogos - Program Jualan Keluarga Malaysia pada penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang bertempat di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini mendapat sambutan pengunjung tidak kira usia dan cuaca yang hujan pada pagi tadi.

 

Tinjauan yang dilakukan DagangNews.com di lokasi berkenaan mendapati rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mendapat barangan keperluan asas yang lebih murah di premis perniagaan yang lain sehingga potongan setengah harga. 

 

Ketika ditemui, Salbiah Zaid, 67, yang ditemani anaknya itu datang ke karnival AKM seawal jam 10 pagi lagi bagi beratur agar tidak terlepas daripada mendapatkan barangan yang dijual pada harga murah. 

 

“Saya dan anak saya datang seawal jam 10 pagi tadi lagi, meskipun hujan dan letak tempat kereta agak sesak kami sanggup beratur kerana harga yang ditawarkan di tapak jualan ini jauh lebih murah berbanding harga runcit di premis perniagaan lain. 

 

“Namun, seperti yang dimaklumkan had kuantiti pembelian turut dikenakan agar orang ramai turut berpeluang mendapatkan barangan asas pada harga yang murah dijual disini,” katanya.

 

Program Jualan Keluarga Malaysia tersebut merupakan jualan dibawah seliaan Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bagi memberi peluang pengunjung mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan. 

 

Antaranya seperti ayam, minyak masak, telur dan beras dijual pada harga yang berpatutan. 
 

 

AKM

 

AKM

 

Sementara itu, Norinda Samat, 64 tahun berharap agar karnival jualan seperti ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang. 

 

“Program seperti ini sangat membantu rakyat terutamanya pada ketika ini harga runcit tidak menentu dan menyebabkan harga barang tidak dapat dikawal. 

 

AKM

 

AKM

 

“Justeru, saya berharap program jualan seperti ini dapat diadakan di karnival-karnival yang akan datang tidak kira di bandar mahupun di kawasan luar bandar agar penduduk dapat mendapatkan harga pada harga yang berpatutan,” ujarnya. 

 

Program Jualan Keluarga Malaysia Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan di Tapak Jualan No.12 dan dibuka seawal jam 10 pagi hingga 9 malam dari 5 -7 Ogos ini. - DagangNews.com