Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com diperluas kepada GLC, GLIC dan sektor swasta - PM | DagangNews Skip to main content

Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com diperluas kepada GLC, GLIC dan sektor swasta - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 1 Julai - Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com akan diperluas kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, inisiatif kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar % itu merupakan susulan pengumuman beliau pada 1 Mei lalu sempena sambutan Hari Pekerja 2022 khasnya untuk penjawat awam.

 

Beliau berkata, program seumpama itu yang pertama kali dilaksanakan secara digital dalam talian memanfaatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam. 

 

Jelasnya, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan dan bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan, melalui Skim Potongan Gaji Angkasa (SPGA). 

 

"Saya telah berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan agar Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com ini turut diperluaskan kepada GLC, GLIC dan sektor swasta dalam masa terdekat.

 

"Penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan ‘Mudah, Jimat dan Pantas’. Nota Perlindungan Insurans diperoleh hanya dalam tempoh lima minit. 

 

"Pembiayaan ini berlandaskan konsep patuh syariah 'Qardhul Hasan', yang merupakan pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba. Dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan, penjawat awam boleh mengambil perlindungan tambahan yang lebih komprehensif untuk kenderaan masing-masing. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon (tiga dari kanan) ketika melancarkann Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com di Putrajaya, hari ini. Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (tiga dari kiri). - Gambar Twitter Ismail Sabri

 

 

"Ini bagi memastikan kenderaan dan penumpang berupaya dilindungi daripada kemalangan, serta bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya," katanya ketika berucap merasmikan program tersebut, di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan inisiatif tersebut bukan sahaja boleh dinikmati semua penjawat awam tetapi juga mereka yang bertaraf kontrak. 

 

Menurut Ismail Sabri, penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak, layak memohon skim Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60% daripada jumlah pendapatan bulanan.

 

 

pm

 

 

"Program ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

 

" Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan," katanya.

 

Beliau berkata, pada masa sama, usaha ini dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan.

 

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menyambut baik pelaksanaan projek secara Kerjasama Sektor Awam Swasta dalam semua bidang, terutama yang memberikan impak positif serta manfaat besar kepada negara dan Keluarga Malaysia. 

 

Katanya, jalinan kerjasama ini mampu meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, mencambahkan idea yang lebih kreatif, mewujudkan peluang pekerjaan, pertukaran kemahiran dan limpahan ekonomi. 

 

"Kerjasama strategik ini juga, merupakan contoh terbaik apabila dapat membangunkan satu penyelesaian kewangan digital bagi urusan memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan penjawat awam. 

 

"Menerusi kerjasama ini, ia membantu mengurangkan impak kewangan kerajaan dan pada masa yang sama teknologi terkini yang dibangunkan oleh pihak swasta dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

 

 

pm

 

 

Tambahnya, menyedari hakikat Keluarga Malaysia khususnya penjawat awam berdepan dengan cabaran kelangsungan hidup dalam pasca pandemik, kerajaan telah merangka dan merealisasikan pelbagai program serta inisiatif, bagi meringankan beban hidup mereka.

 

"Kerajaan amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia termasuk penjawat awam akibat pandemik COVID-19. Kini kita berada dalam Fasa Peralihan Ke Endemik dan ekonomi Malaysia menunjukkan ke arah pertumbuhan positif. 

 

"Namun, Keluarga Malaysia sedang berhadapan cabaran kos sara hidup akibat ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim. Ini termasuk konflik Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan, bahan api serta gangguan rantaian bekalan. 

 

"Hakikat ini turut memberi kesan kepada penjawat awam khususnya dalam kumpulan perkhidmatan sokongan, yang selama ini menyokong cita-cita kerajaan, teguh berdiri sebagai tulang belakang pentadbiran negara dalam apa jua keadaan mahupun rintangan," katanya. - DagangNews.com