Program Pembiayaan Start-ups Agensi MOSTI dilancar bantu syarikat pemula | DagangNews Skip to main content

Program Pembiayaan Start-ups Agensi MOSTI dilancar bantu syarikat pemula

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUCHING 24 Jun - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Program Pembiayaan Start-ups Agensi MOSTI, sempena penganjuran edisi keempat siri jelajah ‘MYStartup Roadshow’ di Kuching, Sarawak.

 

Program yang dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba itu merupakan inisiatif daripada Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) dan Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) yang menyediakan pembiayaan dari peringkat awal ke peringkat seterusnya kepada start-up.

 

Beliau berkata, menerusi program itu, kesemua pilihan pembiayaan sedia ada daripada Cradle dan MDV akan diadaptasi menjadi satu corong pembiayaan (funding funnel) kepada start-up. 

 

"Justeru, sebuah memorandum persefahaman (MoU) di antara Cradle dan MDV telah termeterai sebagai langkah awal bagi mengurangkan jurang kegagalan atau 'the valley of death' yang dihadapi kebanyakan start-up di Malaysia," katanya.

 

Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran MoU di antara MOSTI menerusi Cradle dan Syarikat GK Aqua Sdn. Bhd. (GK Aqua) berkaitan penyediaan latihan kepada peserta di bawah program ‘Upskilling For Deeptech And Futureskills’ kendalian Cradle. 

 

Melalui usaha sama ini, GK Aqua akan menjadi penyedia latihan rasmi untuk membentuk dan meningkatkan tenaga kerja mahir dalam bidang biosains bermula Julai 2022.

 

Bagi meneruskan kesinambungan dan kemampanan program MYStartup yang dijalankan di negeri Sarawak, pihak Cradle turut memeterai sebuah MoU dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang bakal menyaksikan pihak TEGAS menjadi pelaksana aktiviti-aktiviti di bawah program MYStartup di negeri ini. 

 

 

mosti
Datuk Seri Dr. Adham Baba

 

 

Selain itu, pihak Cradle juga akan menyokong program-program pembangunan ekosistem start-up anjuran TEGAS di negeri Sarawak.

 

Siri jelajah ‘MYStartup Roadshow’ anjuran MOSTI menerusi agensi di bawahnya, Cradle bagi meneruskan kesinambungan momentum dan usaha mewujudkan sebuah ekosistem start-up yang terangkum dan kondusif.

 

Kuching merupakan hentian pertama di luar Semenanjung Malaysia dan yang keempat dalam siri jelajah MYStartup selepas Kuala Lumpur, Johor  dan Pulau Pinang. 

 

Jelajah ini adalah sebahagian daripada usaha bagi memastikan komuniti start-up di Sarawak turut sama terlibat dan mendapat manfaat daripada program-program pemerkasaan start-up  melalui Program MYStartup.

 

Dr. Adham berkata, MOSTI dan Cradle sangat berbesar hati kerana mendapat sokongan padu dan kerjasama daripada rakan-rakan komuniti setempat. 

 

"Antaranya termasuklah TEGAS Digital Village, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), iCube Innovation dan Sarawak Media Group (SMG) serta lain-lain yang berganding bahu dalam memajukan pergerakan dan perkembangan komuniti start-up di negeri ini," katanya.

 

Program MYStartup yang dilancarkan Februari 2022 bertujuan memperkasakan ekosistem dan komuniti start-up di Malaysia melalui pengisian yang menumpukan kepada pembangunan, perkembangan start-up secara mampan, pembangunan kapasiti serta modal insan.

 

Antara aktiviti sepanjang jelajah adalah sesi taklimat mengenai inisiatif MOSTI serta hala tuju start-up negara dan perundingan bersemuka di antara agensi pembiaya, rakan strategik setempat dan dari luar Sarawak.

 

Kerjasama di antara MOSTI, Cradle dan pemegang taruh Ekosistem Start-up Malaysia dalam siri jelajah ini menunjukkan iltizam kementerian dalam memanifestasikan usaha dan komitmen kerajaan bagi memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat daripada usaha pemerkasaan dan pembangunan start-up negara. 

 

Melalui usaha ini juga, impian menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama bagi para pengasas dan syarikat luar untuk bertapak serta memulakan operasi mereka di negara ini dapat direalisasikan, sekali gus merancakkan lagi ekonomi negara.

 

Maklumat lanjut mengenai ekosistem start-up Malaysia, program-program yang bakal dianjurkan Cradle dan juga maklumat berkenaan hentian siri jelajah ‘MYStartup Roadshow’, start-up, pelabur, pemain industri dan pembina ekosistem sila layari dan mendaftar di platform MYStartup di www.mystartup.gov.my. - DagangNews.com