Skip to main content

Program subsidi upah melegakan pengusaha hotel

Hotel

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Bantuan insentif Program Subsidi Upah (PSU) dilihat dapat memberi kelegaan kepada industri hotel yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Meluahkan perkara tersebut, wakil Berjaya Hotel & Resort (M) Sdn. Bhd., Fauziah Mohd. Arif berkata, insentif PSU membantu pihaknya dalam usaha mengurangkan bebanan kos syarikat.

 

"Pengoperasian hotel lumpuh seketika kerana ketiadaan pelanggan dan pelancong.

 

"Bantuan insentif oleh kerajaan melalui PSU ini telah kami terima secara bulanan mengikut waktu pembayaran gaji pekerja seperti kebiasaannya.

 

"Dengan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kos operasi syarikat terutamanya melibatkan bayaran gaji pekerja," jelasnya seperti dipetik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai testimoni kepada program tersebut hari ini.

 

Fauziah Mohd. Arif
Fauziah Mohd. Arif 

 

PSU dan PSU 2.0 adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

 

Program tersebut bertujuan untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan. 

 

Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) baru-baru ini memberitahu, majikan yang menjalankan operasi dalam tempoh PKP 2.0 diberi kelayakan untuk memohon PSU 3.0.

 

Program tersebut ditambah baik melalui matlamat ketiga untuk menyokong kelangsungan perniagaan di bawah pakej Permai.

 

Baca: Majikan beroperasi ketika PKP layak mohon Program Subsidi Upah 3.0

 

Melalui program tersebut, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja yang bergaji kurang dari RM4,000 untuk tempoh satu bulan.

 

Dalam pada itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan juga akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.

 

Jelas Perkeso, langkah proaktif kerajaan dengan memperkenalkan pemberian bantuan insentif PSU adalah tepat bagi mengurangkan bebanan kewangan majikan dalam tempoh mencabar ini. - DagangNews.com