Skip to main content

Program Sukuk Wakalah Agrobank terima sambutan memberangsangkan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. -   Program Sukuk Wakalah berjumlah RM1 bilion terbitan Agrobank mendapat sambutan luar biasa selepas mengemukakannya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Ogos lalu.

 

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, bank berbangga kerana berjaya melancarkan Sukuk Wakalah sulung berjumlah RM500 juta pada 18 Oktober 2021, selepas memuktamadkan proses penetapan harga yang menandakan kepentingan pasaran modal sukuk Malaysia.

 

"Kejayaan menjadi sebahagian daripada instrumen inovatif ini adalah satu kelebihan buat Agrobank, di mana kami percaya ia akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global dalam meneraju pasaran modal Islam global. 

 

"Permintaan yang tinggi di pasaran bagi instrumen ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap kredit, operasi dan aktiviti perniagaan Agrobank.

 

"Penerbitan sukuk ini akan membolehkan industri menjana keuntungan menerusi pengurusan kos yang efektif, sekali gus menyediakan penyelesaian peningkatan modal yang dapat mengelakkan kecairan dan penurunan kos modal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Agrobank hari ini mengumumkan bahawa harga bagi Program Sukuk Wakalah berjumlah RM500 juta berdasarkan prinsip Islam Wakalah Bi AlIstithmar berjaya ditetapkan pada 18 Oktober lalu.

 

Jelasnya, hasil daripada penerbitan Sukuk Wakalah itu akan digunakan untuk keperluan perniagaan am dan modal kerja patuh Syariah.

 

Agrobank berkata, penerbitan Sukuk sulung ini menyaksikan permintaan yang tinggi pelabur yang terdiri daripada agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat pengurusan aset dan syarikat insurans, menyebabkan tawaran jumlah langganan yang berlebihan.

 

"Program Sukuk Wakalah diberi penilaian AAA oleh Malaysia Rating Corporation Bhd. dan Maybank Investment Bank Bhd pula adalah Penasihat Utama Tunggal /Pengatur Utama Tunggal/Pengurus Utama Tunggal bagi Program Sukuk berkenaan," katanya. -DagangNews.com